Berunding biarlah di luar Parlimen, secara tertutup - Dr Aziz Bari

Rahimah Abdullah
Oktober 26, 2020 19:07 MYT
Aziz Bari berpendapat, cadangan rundingan antara kerajaan dan pembangkang perlu berlangsung secara tertutup. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Pakar Perlembagaan, Dr Aziz Bari mencadangkan rundingan antara kerajaan dan pihak pembangkang perlu dilakukan di luar Parlimen susulan titah Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah yang menasihatkan semua Ahli Parlimen berhenti bermain politik.
Ketua Pembangkang Perak itu berpendapat, cadangan rundingan antara dua pihak itu juga perlu berlangsung secara tertutup.
Menurut beliau, cadangan sesetengah pihak agar rundingan diadakan di Parlimen adalah tidak relevan memandangkan ia adalah tempat terbuka dan setiap wakil rakyat ada keegoan mereka.
"Parlimen tempat berbahas. Yang cakap (cadang runding di Parlimen) itu bukan Ahli Parlimen. Dia tak tahu apa yang sebenarnya berlaku di dalam Parlimen.
"Berunding secara baik kenalah di luar Parlimen dan secara tertutup. Parlimen tempat terbuka, masing-masing ada ego," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Isnin.
BACA: Tiada keperluan isytihar darurat - Istana Negara
BACA: DAP bersedia, cuma tunggu PM adakan rundingan rasmi - Anthony Loke
Malah kata Aziz, titah Yang di-Pertuan Agong itu juga seiring dengan kedudukan baginda sebagai Ketua Negara yang mengatasi politik.
Justeru, setiap ahli politik semua parti, tegas beliau, perlu akur kerana setiap keputusan sememangnya di tangan baginda.
"Kuasa darurat adalah kuasa yang jelas disebut oleh Perlembagaan sebagai kuasa baginda. Soal apakah itu kuasa budi bicara adalah isu undang-undang yang masih terbuka, tetapi yang jelas apabila baginda telah buat keputusan ia adalah muktamad," ujar Naib Pengerusi DAP Perak itu lagi.
Dalam pada itu, ditanya mengenai Belanjawan 2021, beliau berkata, terpulang kepada ahli politik di pihak kerajaan dan pembangkang untuk menghalusinya
"Apa pun kepentingan rakyat dan negara perlu mengatasi kepentingan parti dan peribadi," tambahnya.
#Dr Aziz Bari #Yang di-Pertuan Agong #Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah #titah #ahli Parlimen #rundingan #darurat #Darurat Malaysia #kerajaan #pembangkang
;