Bertanding Ketua UMNO Bahagian bukan sebab mahu jadi calon PRN - Ahmad Bashah
Bernama
Mac 7, 2023 20:11 MYT
Mac 7, 2023 20:11 MYT
ALOR SETAR: Bekas Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah, berkata keputusannya bertanding jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar pada pemilihan parti,18 Mac ini, bukan disebabkan mahu menjadi calon pada Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
Ahmad Bahshah, 73, berkata beliau berhasrat untuk menawarkan pengalamannya bagi membantu dan mengukuhkan semula UMNO khususnya Bahagian Alor Setar dalam menghadapi PRN itu dan Pilihan Raya Umum ke-16 ((PRU16).
"Saya tidak ada rancangan untuk bertanding kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dalam PRN. Saya sudah berusia 73 tahun, tidak ada apa yang saya nak kejar, saya bukan nak jawatan sesiapa atau nak bertanding dalam PRN nanti.
"Cuma ada permintaan terutama di peringkat cawangan yang minta saya bertanding dalam pemilihan parti dan jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar itu kosong, jadi saya bertandinglah. Kalau jawatan itu ada penyandang saya pun tak akan bertanding," katanya, di sini, hari ini.
Ahmad Bashah adalah penyandang Ketua UMNO Bahagian Alor Setar sehingga 2018 sebelum dimenangi Datuk Mohd Yusof Ismail yang kini digantung keahlian selama enam tahun sejak tahun lalu.
Jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar kini dipangku oleh Timbalannya, Zambri Mat yang turut mengesahkan akan merebut jawatan itu dalam saingan satu lawan satu dengan Ahmad Bashah.
Sementara itu, Zambri mengakui terkejut dengan keputusan Ahmad Bashah untuk membuat kemunculan semula dalam arena politik khususnya di Kedah, namun mengalu-alukan bekas Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Kedah itu untuk merebut jawatan Ketua UMNO Bahagian Alor Setar.
Menurut Zambri, tujuan dirinya bertanding jawatan itu adalah bagi membawa perubahan dalam UMNO Bahagian Alor Setar selain berhasrat memenangi semula hati golongan muda supaya mereka menyokong parti itu pada pilihan raya akan datang.
"Pada usia 44 tahun saya bertanggungjawab untuk membuktikan UMNO ini masih mampu menarik sokongan orang muda. Saya ada kaedah dan pendekatan untuk menarik minat mereka kerana PRU15 lalu merupakan 'wake up call' kepada UMNO untuk melakukan peremajaan parti," katanya.
-- BERNAMA