Bertanding atas tiket MCA hanya akan pecah belah rakyat - Lim Guan Eng

Bernama
Ogos 18, 2018 12:41 MYT
Lim berkata rakyat mempunyai pilihan jelas siapa yang sepatutnya dipilih untuk mewakili mereka di DUN Balakong. - Gambar fail
Tindakan MCA bertanding di atas logo parti sendiri pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Balakong dilihat hanya akan memecah belahkan rakyat, kata Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng.
Beliau berkata parti berkenaan hanya mewakili satu kaum sahaja, berbanding Pakatan Harapan (PH) yang mewakili semua kaum.
"Kita bertanding di bawah PH yang mewakili semua rakyat Malaysia tak kira kaum agama dan kita adalah lambang Malaysia, berbanding parti lawan dia hanya wakil satu kaum... daripada satu barisan dia keluar memencilkan diri untuk mewakili satu kaum sahaja.
"Bila nak dapatkan sokongan dari parti lain dia kata, 'oh saya nak dapat sokongan dari satu parti yang hanya perjuangkan satu agama and anti agama lain'.
"Itu jelas parti macam ini nak pecah belahkan rakyat berbanding PH yang kita nak satu padukan rakyat," katanya ketika ditemui pemberita di pusat penamaan calon PRK DUN Balakong, di Dewan Utama Demesne di sini, hari ini.
Pada penamaan calon hari ini, Pegawai Pengurus Datuk Rosli Othman mengumumkan pertembungan satu lawan satu antara calon PH Wong Siew Ki, 32 dan calon MCA Tan Chee Teong, 40, bagi PRK berkenaan yang dicetuskan berikutan kematian penyandangnya Eddie Ng Tien Chee dalam satu kemalangan jalan raya 20 Julai lepas.
Justeru, Lim yang juga Menteri Kewangan berkata rakyat mempunyai pilihan jelas siapa yang sepatutnya dipilih untuk mewakili mereka di DUN berkenaan.
"Di sini kita dapat lihat pilihan yang jelas, samada pilih parti yang satu padukan rakyat atau pecah belahkan rakyat. Harap rakyat terus berikan sokongan supaya kita dapat jalankan tugas dan laksanakan dasar-dasar dan juga amanah yang diberikan dan dijanjikan supaya semua tugas ini dapat disempurnakan," katanya.
Lim berkata Wong telah bekerja selama beberapa tahun di bawah mendiang Ng, dan juga merupakan pemimpin muda yang bermula dari peringkat akar umbi.
Katanya, ramai pengundi di sini, ketika ditemui pimpinan parti masih merindui Ng yang telah memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat di DUN ini, justeru beliau berharap pengundi akan dapat mengundi calon yang diletakkan PH bagi menyambung legasi Ng.
Sementara itu, Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Wee Ka Siong ketika ditemui di pusat penamaan calon berkenaan berkata jentera parti perlu bekerja dua kali ganda lebih kuat memandangkan tempoh berkempen yang panjang.
Ditanya mengenai peratusan pengundi Melayu yang merangkumi kira-kira 30 peratus dari keseluruhan pengundi, beliau berkata mereka cuma berharap para pengundi dapat memberi penilaian secukupnya, terutama melalui prestasi kerajaan PH.
"Kita akan cuba sedaya upaya minta doa restu dari kawan-kawan Melayu supaya dapat menilai lepas Pilihan Raya Umum ke-14, macam mana janji dapat ditunaikan PH, apa perasaan mereka, macam mana sebagai contoh GST yang dikata disifarkan, adakah kesannya dapat dirasai," katanya.
Mengenai ketiadaan kelibat pemimpin tertinggi parti komponen Barisan Nasional, UMNO dan MIC bagi memberi sokongan pada penamaan hari ini, beliau berkata apa yang penting adalah peti undi, yang lain adalah formaliti.
Pada Pilihan Raya Umum ke-14 lalu, Ng mewakili DAP menewaskan calon BN, Lim Chin Wah dan Mohamad Ibrahim Ghazali (PAS), dengan majoriti 35,538 undi.
Ng memperoleh 41,768 undi berbanding Lim (5,875 undi) dan Mohamad Ibrahim (6,230).
-- BERNAMA
#agama #Barisan Nasional #calon #DAP #DUN Balakong #kaum #kempen #Lim Guan Eng #Malaysia #MCA #Pakatan Harapan #pilihan raya kecil #PRK #rakyat #Tan Chee Teong #Wee Ka Siong #wong siew ki
;