Bersih lancar petisyen mohon Agong, PM utamakan rakyat sebelum bubar Parlimen

Afiezy Azaman
Oktober 6, 2022 13:05 MYT
Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 melancarkan petisyen membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan semasa musim tengkujuh.
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) 2.0 melancarkan petisyen membantah Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan semasa musim tengkujuh.
Dalam petisyen itu, Bersih 2.0 memohon Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah untuk mengutamakan keselamatan dan kemudahan rakyat sebelum memutuskan pembubaran Parlimen.
“Ketergesaan untuk mengadakan PRU pada November atau Disember adalah tidak bertanggungjawab dan merupakan tindakan penting diri yang akan menyusahkan pengundi di Pantai Timur seperti Kelantan, Terengganu, Pahang, Johor bahkan wilayah Sabah dan Sarawak yang mungkin akan mengalami banjir di banyak kawasan.
“MetMalaysia (Jabatan Mateorologi Malaysia) telah memberi amaran ribut, hujan lebat dan banjir di kebanyakan kawasan pada hujung tahun ini dengan perubahan iklim dan cuaca yang ekstrim, bahkan negeri Pantai Barat Semenanjung seperti Selangor dan Kedah berhadapan dengan banjir teruk sebagaimana yang dialami tahun lepas.
“Justeru, kami memohon Perdana Menteri dan Yang di-Pertuan Agong untuk mempertimbangkan kepentingan dan keutamaan rakyat berbanding kepentingan kumpulan kecil ahli politik dan mengadakan PRU15 tahun hadapan,” katanya.
Pada Khamis, petisyen itu telah mengumpul sebanyak 909 tandatangan, setakat jam 1 tengah hari.
Pada 28 September lalu, Timbalan Presiden PKR, Rafizi Ramli turut melancarkan petisyen membantah PRU diadakan pada musim tengkujuh.
Petisyen itu, menurut Rafizi, dilancarkan ketika UMNO meningkatkan tekanan kepada Perdana Menteriuntuk mengadakan PRU15 secepat mungkin.
Petisyen Bantah PRU15 Semasa Banjir: Selamatkan Nyawa Bukan Jawatan yang dilancarkan di platform change.org itu setakat ini telah mengumpul 23,130 tandatangan.
#banjir #Yang di-Pertuan Agong #pilihan raya umum #Bersih
;