Bersih desak SPR panjangkan masa mengundi
Astro Awani
Mei 9, 2018 16:37 MYT
Mei 9, 2018 16:37 MYT
Gabungan Pilihanraya Bersih dan Adil (Bersih) mendesak Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memanjangkan masa mengundi jika masih ramai yang beratur pada pukul 5 petang.
Dalam satu kenyataan, Bersih menggesa SPR membenarkan semua pengundi yang sudah memasuki pusat mengundi sebelum pukul 5 petang menjalankan tanggungjawab mereka.
Mengikut Seksyen 4(d) Akta Kesalahan Pilihanraya 1954, pegawai-pegawai SPR akan melakukan kesalahan undang-undang jika pengundi yang berhak mengundi di mana-mana bahagian pilihan raya dinafikan hak mereka untuk mengundi.
Bersih juga mendakwa mendapat banyak laporan dari pelbagai tempat tentang kesesakan yang berlaku di tempat mengundi.
Bersih juga menyeru semua rakyat Malaysia yang belum membuang undi untuk segera ke pusat mengundi.
"Sila pastikan anda memasuki pekarangan pusat mengundi sebelum jam 5 petang dan jangan beredar dari kawasan tersebut selagi anda tidak mengundi.
"Kami menyeru semua rakyat untuk berada di pusat mengundi untuk memberi sokongan kepada mereka yang sedang beratur tetapi belum mengundi," kata kenyataan tersebut.
Sebelum ini, Pengerusi SPR Tan Sri Mohd Hashim Abdullah memberitahu pemberita tiada lanjutan tempoh pengundian walaupun masih ramai yang beratur panjang.