Bersih anjur kongres 25 Mei ini, rangka perancangan menuju PRU16

Syafik Shukri Jalil
Mei 4, 2024 17:19 MYT
Kongres yang akan diadakan pada 25 Mei ini antara lain bagi merangka perancangan dan resolusi ke hadapan sebelum Pilhan Raya Umum ke-16 (PRU16).
KUALA LUMPUR: Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) akan menganjurkan Kongres Bersih sebagai medan mengumpulkan pertubuhan masyarakat sivil, mahasiswa dan rakyat negara ini.
Menurut Pengerusinya, Muhammad Faisal Abdul Aziz, kongres yang akan diadakan pada 25 Mei ini antara lain bagi merangka perancangan dan resolusi ke hadapan sebelum Pilhan Raya Umum ke-16 (PRU16).
‘’Kongres ini perlu dilaksanakan supaya ia dapat memberi momentum kepada semua pihak dan juga yang paling penting memberi tekanan bukan hanya kepada Perdana Menteri tetapi kepada barisan Kabinet kerajaan dan penjawat awam untuk mengikut desakan rakyat untuk melaksanakan agenda reformasi.
‘Pertemuan dengan PM bukan pengakhir, bukanlah penghujung, bukanlah pengakhiran yang menyebabkan Bersih tidak boleh buat apa-apa, kita berterima kasih atas kesudian PM bertemu kita dan juga ada beberapa kesepakatan untuk melaksanakan agenda reformasi.
‘’Paling kenapa kongres itu diadakan sebab ia adalah salah satu mekanisma bagi mengumpulkan suara semua NGO, pertubuhan masyarakat sivil, mahasiswa, anak muda dan seluruh rakyat yang sayangkan negara ini untuk kita bawa kepada momentum dan membina hala tuju NGO dan juga Bersih khususnya menjelang PRU16,’’ katanya.
Muhammad Faisal berkata demikian semasa sidang media pengumuman Kongres Bersih di Petaling Jaya, pada Sabtu.
Selain itu ujarnya, kongres juga akan membuka ruang kepada semua peserta terlibat bagi mengemukakan usul berdasarkan empat kriteria utama antaranya reformasi pilihan raya, hak asasi manusia, reformasi institusi dan keharmonian kaum.
‘’Menerusi kongres ini, kita akan buka satu platform untuk semua NGO, mahasiswa, anak muda untuk mengemukakan usul.
‘’Sebab itu kongres ini penting bagi menentukan hala tuju NGO sehingga PRU akan datang jadi kita ada jawatankuasa usul yang mana kita akan terbitkan peraturan-peraturan usul (yang dicadangkan),’’ ujarnya.
Tambahnya, usul yang disuarakan yang dirasakan selaras dengan agenda reformasi seterusnya akan dibahaskan dan diluluskan.
#Bersih #agenda reformasi #Perdana Menteri #PRU16
;