Bersih 5, Baju Merah: 'Saya akan kenal pasti ahli UMNO yang terlibat' - Ku Nan
Anthea Yap
November 20, 2016 13:07 MYT
November 20, 2016 13:07 MYT
Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor sendiri akan meneliti semua rakaman perhimpunan Bersih 5 dan Baju Merah untuk mengenal pasti ahli UMNO yang terlibat dalam perhimpunan itu semalam.
Setiausaha Agung UMNO itu berkata, beliau akan menyerahkan senarai nama mereka kepada lembaga disiplin parti dalam masa terdekat untuk tindakan lanjut.
Menurutnya, siasatan menyeluruh harus dilakukan dan ia memerlukan sedikit masa bagi mengesahkan pembabitan hali berkenaan.
"Kita akan bawa (senarai nama) ke Lembaga Displin untuk ambil tindakan. Sekarang kita masih menunggu laporan.
"Saya ada semua rakaman perhimpunan itu dan kita akan tengok siapa ahli UMNO yang terlibat yang sepatutnya tidak terlibat... kita akan berikan kepada Lembaga Displin untuk buat keputusan," katanya di Majlis Perasmian Gotong-Royong Mega 2016 Bersepadu Perangi Aedes di peringkat Wilayah Persekutuan di sini hari ini.
Beliau juga melahirkan rasa kecewa dengan perjalanan perhimpunan Bersih 5 kerana ia turut menjejaskan perniagaan dan pelancong di sekitar ibu negara.
"Saya amat kecewa dan sedih apa yang berlaku semalam kerana saya sendiri ada di tempat yang tertentu di mana saya sendiri buat pemantauan.
"Saya dapat lihat berapa banyak perkara yang tak sepatutnya dilakukan oleh rakyat Malaysia dilakukan oleh orang-orang yang kecewa dan orang-orang yang tidak bertanggungjawab.
"Saya merayu kepada mereka ini supaya tolong jangan ganggu perniagaan di ibu negara," tambahnya.