Bersih 4.0: 'Ketua Pemuda MCA, tarik balik pendirian kamu' - Azwan Bro

Wan Syamsul Amly
Ogos 28, 2015 20:13 MYT
KHAIRUL AZWAN: Tidak sepatutnya untuk ahli kita menyertai atau menyokong pergerakan yang mempunyai matlamat untuk menjatuhkan parti dan kerajaan kita.
Ketua Pergerakan Pemuda MCA, Chong Sin Woon diberi kata dua untuk menarik semula kenyataan untuk tidak akan mengambil tindakan kepada mana-mana ahli parti itu yang menyertai perhimpunan Bersih 4.0 pada Sabtu.
Timbalan Pengerusi Pemuda Barisan Nasional (BN) yang juga Naib Ketua Pemuda UMNO, Khairul Azwan Harun menegaskan, amaran turut diberikan kepada Sin Woon kerana kedudukannya sebagai anggota pentadbiran Kerajaan.
"Ingin saya ingatkan Sin Woon bahawa dia memegang jawatan sebagai Naib Pengerusi di dalam Pergerakan Pemuda BN dan tidak sepatutnya untuk ahli kita menyertai atau menyokong pergerakan yang mempunyai matlamat untuk menjatuhkan parti dan kerajaan kita.
"Bersih adalah himpunan haram yang mahu menjatuhkan kerajaan sekali gus menghancurkan sistem demokrasi negara. Saya selaku Timbalan Pengerusi Pemuda BN mengarahkan semua ahli pemuda BN untuk menghindari himpunan Bersih.
"Saya beri kata dua kepada Sin Woon untuk menarik balik kenyataannya. Kita mesti halang kalau ada gerakan yang mahu menjatuhkan kerajaan dan bukan mengizinkan. Kenyataan seperti ini yang datangnya dari seseorang yang memegang jawatan di dalam parti dan kerajaan boleh diibaratkan seperti satu tikaman dari belakang," katanya kepada Astro AWANI di sini hari ini.

We warn MCA Youth not to sacrifice party and government for personal gain. Nothing can be achieved with Bersih. Mere PR propaganda. Avoid.

— Khairul Azwan Harun (@azwanbro) August 28, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Khairul Azwan mengulas kenyataan Sin Woon di dalam sebuah portal yang berkata tidak akan mengambil tindakan kepada ahli MCA yang menyertai Bersih 4.0.
Bagaimanapun kata Sin Woon, peserta perhimpunan daripada MCA perlu mematuhi undang-undang, disiplin serta menjaga diri sendiri.

We expect @chongsinwoon to correct his stance by allowing MCA members to join Bersih. BNYouth cannot accept this. BN members reject Bersih.

— Khairul Azwan Harun (@azwanbro) August 28, 2015
An error occurred while retrieving the Tweet. It might have been deleted.
Dalam pada itu kata Khairul Azwan, Sin Woon disifatkan tidak boleh menyatakan sikap penentangan walaupun rakyat negara ini mempunyai kebebasan untuk memberikan pandangan masing-masing.
"Kita sebagai pemegang jawatan di dalam BN memahami nilai ikatan persahabatan dan apatah lagi Sin Woon yang merupakan seorang pemimpin Kabinet.
"Saya dan (Ketua Pemuda UMNO) Khairy Jamaluddin pernah dilabel pelbagai macam nama oleh NGO dan kumpulan tertentu kerana kami mempertahankan kerajaan dan rakan-rakan di dalam BN.
"Selaku pemimpin kami faham nilai persahabatan dan ikatan antara kita dan kami meletakkan kepentingan BN lebih dari kenyataan dan pendirian populis jangka masa pendek. Sekiranya dia tidak mampu mempertahankan kerajaan mungkin dia perlu memikirkan semula tentang kedudukannya di dalam kerajaan," ujarnya.
Sebelum ini, Timbalan Menteri Dalam Negeri I, Datuk Nur Jazlan Mohamed tidak menolak kemungkinan akan wujud kumpulan yang akan mencetuskan huru hara dalam perhimpunan haram Bersih 4.0.
Tegasnya, kumpulan anarki dalam perhimpunan haram berkenaan bertujuan mencetuskan provakasi terhadap polis supaya pihak berkuasa menggunakan kekerasan terhadap peserta.
#Azwan Bro #Bersih #Bersih 4.0 #BN #Chong Sin Woon #Khairul Azwan Harun #MCA #UMNO
;