Bersatu tolak dakwaan jentera tunggu Tun Mahathir untuk digerakkan
Bernama
Oktober 6, 2018 05:23 MYT
Oktober 6, 2018 05:23 MYT
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menolak dakwaan bahawa jentera parti itu menunggu kehadiran pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk digerakkan bagi membantu kempen calon Pakatan Harapan (PH) Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Port Dickson.
Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Marzuki Yahya berkata Bersatu menggerakkan jenteranya sejak 29 Sept lepas, iaitu pada hari penamaan calon dan mengenal pasti pusat-pusat daerah mengundi untuk diberi perhatian.
"Sebelum ini kita sudah buat persiapan, sekarang ialah pusingan kedua turun padang. Kita bekerja dan kehadiran Tun (Dr Mahathir) amat kita alu-alukan kerana ini akan beri impak yang besar kepada gerakan kita," katanya pada sidang media di sini, malam tadi.
Beliau berkata jentera Bersatu menumpukan usaha menarik sokongan pengundi Melayu dengan fokus utama parti di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bagan Pinang.
Katanya kehadiran Dr Mahathir yang juga Perdana Menteri, pada Isnin akan mampu menarik lebih banyak sokongan termasuk penyokong UMNO untuk mengundi Anwar, yang juga Ketua Umum PKR, sekali gus memberi kemenangan dengan majoriti besar.
Dr Mahathir dijadual hadir pada Isnin malam dan akan bergandingan semula dengan Anwar di atas satu pentas selepas 20 tahun.
Kerusi Parlimen Port Dickson dikosongkan penyandangnya Datuk Danyal Balagopal Abdullah pada 12 Sept lepas, bagi membolehkan Anwar yang baru-baru ini menang tanpa bertanding jawatan Presiden PKR, bertanding dan kembali ke Dewan Rakyat.
Hari mengundi ditetapkan pada 13 Okt manakala pengundian awal 9 Okt.
Dalam perkembangan lain, Marzuki berkata pimpinan Bersatu Negeri Sembilan, yang sebelum ini dibubarkan, telah selesai distruktur semula dan dipimpin Ketua Badan Pimpinan Bersatu negeri Tan Sri Dr Rais Yatim.
Katanya pimpinan baharu itu akan diumumkan oleh Rais selepas PRK Parlimen Port Dickson selesai.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Sept lepas dipetik sebagai berkata tindakan pembubaran itu diambil atas nasihat Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS) sebagai antara cara menyelesaikan masalah dalaman parti di negeri itu yang berpanjangan dan tidak dapat diselesaikan.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Timbalan Ketua Badan Pimpinan Bersatu Negeri Sembilan Eddin Syazlee Shith, yang juga Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia.
-- BERNAMA
#Anwar Ibrahim
#Bersatu
#Bersatu Negeri Sembilan
#calon
#jentera
#kempen
#Mahathir Mohamad
#Marzuki Yahya
#masalah dalaman
#Pakatan Harapan
#pengundi melayu
#pilihan raya kecil
#Port Dickson
#PPBM
#PRK Port Dickson
#struktur semula
#turun padang