Bersatu tiada agenda tersembunyi - Muhyiddin
Astro Awani
Jun 11, 2022 18:29 MYT
Jun 11, 2022 18:29 MYT
KULAI: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) tiada agenda tersendiri yang hanya menguntungkan parti itu dalam soal kerjasama dengan parti lain sehingga meminggirkan komponen dalam Perikatan Nasional (PN) dalam persediaan menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Tegas Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin, parti itu akan bersetuju selagi mana kerjasama yang dijalin selari dengan prinsip perjuangan PN dan akan menolak sekiranya ia bertentangan dengan dasar-dasar gabungan berkenaan.
"Kita akan bincang, tiada agenda tersendiri, tidak ada niat kita sebagai satu gabungan parti kita ambil langkah atau usaha untuk tentukan kejayaan tetapi melibatkan pelbagai cara strategi dan perikatan.
"Kalau selari dengan dasar perjuangan PN saya setuju, kalau dia bertentangan dengan dasar-dasar saya tak setuju itu prinsip utama. Tetapi tidak salah awal kita sudah berkomunikasi maka dia tidak buruk sangka. Ini cara Perikatan," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Jalinan Mesra PN Johor di sini hari ini.
Semalam, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang mengesahkan agenda Muhyiddin untuk bekerjasama di bawah khemah besar dengan parti-parti pembangkang pada PRU15.
Abdul Hadi berkata, pendekatan itu bagaimanapun ditolak oleh Pas sebelum ini.
Sementara itu Muhyiddin turut mengingatkan agar semua pimpinan utama Bersatu memberi perhatian kepada masalah yang dihadapi rakyat termasuk kenaikan kos sara hidup dan inflasi yang membebankan.
Muhyiddin berkata, tidak perlu terlampau berpolitik sehingga melupakan tujuan asal menyertai politik iaitu untuk membela nasib rakyat tanpa mengira bangsa.
Beliau yang juga Pengerusi Majlis Pemulihan Negara (MPN) berkata beberapa langkah pemulihan yang dikemukakan perlu diterjemahkan di semua peringkat termasuk kementerian, jabatan dan agensi berkaitan.
Jelas Muhyiddin lagi, di peringkat Bersatu dan PN mereka merancang untuk melancarkan projek galakan tanaman di seluruh kawasan yang mana hasil tanaman nanti akan dibekalkan kepada rakyat miskin secara percuma atau dijual pada harga lebih murah.