Bersatu: Srikandi Bahagian Johor Bahru tidak bubar

Bernama
Jun 22, 2021 21:45 MYT
Abdull Bakar berkata, mengikut perlembagaan parti itu, Srikandi Bahagian Johor Bahru masih relevan dan tidak perlu dibubarkan. - BERNAMA
KUALA LUMPUR: Bersatu Bahagian Johor Bahru menjelaskan Srikandi Bahagian Johor Bahru tidak dibubarkan seperti tular di media sosial, sebaliknya masih berjalan seperti biasa untuk berkhidmat kepada masyarakat dan parti.
Ketua Bahagian Bersatu Bahagian Johor Bahru Abdull Bakar Ali berkata Bersatu Bahagian Johor Bahru sedia maklum dengan isu peletakan jawatan sebahagian Ahli Jawatankuasa sayap Srikandi Bahagian Johor Bahru pada 20 Jun.
Bagaimanapun Abdull Bakar berkata mengikut Perlembagaan parti itu, Srikandi Bahagian Johor Bahru masih relevan dan tidak perlu dibubarkan.
"Fokus Bersatu Bahagian Johor Bahru ketika ini adalah bersama-sama dengan kerajaan Perikatan Nasional dalam memerangi pandemik COVID-19," katanya dalam kenyataan, malam tadi.
BACA: Empat lagi AJK Srikandi Bahagian Johor Bahru letak jawatan
Pada Isnin, media melaporkan Pengerusi Tetap Srikandi Bahagian Johor Bahru Masazlina Bachok bersama timbalannya Khairunnisah Ali dan enam Ahli Jawatankuasa sayap Bersatu bahagian itu mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa 20 Jun.
Abdull Bakar berkata Bersatu Bahagian Johor Bahru juga menerima surat penarikan peletakan jawatan Ahli Jawatankuasa yang masih ingin bersama Srikandi Bahagian Johor Bahru.
-- BERNAMA
#pandemik #COVID-19 #media sosial #Bersatu #bubar #Srikandi #Abdull Bakar Ali #perlembagaan parti #letak jawatan #Srikandi Johor Bahru #ahli jawatankuasa