Bersatu sokong penuh tindakan kerajaan tidak ratifikasi ICERD
Astro Awani
November 23, 2018 00:14 MYT
November 23, 2018 00:14 MYT
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menyokong penuh keputusan untuk tidak meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Pembasmian Diskriminasi Kaum (ICERD).
Dalam satu kenyataan hari ini, Ketua Penerangannya Dr Radzi Jidin berkata, ahli serta seluruh kepimpinan Bersatu dengan tegas menolak sebarang usaha untuk meratifikasi ICERD.
"Menginsafi bahawa mempertahankan perkara-perkara asas Perlembagaan Persekutuan termasuk kedudukan istimewa Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak, Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan dan Islam sebagai Agama Persekutuan adalah matlamat perjuangan Bersatu yang termaktub di dalam perlembagaan parti, maka ahli-ahli dan kepimpinan Bersatu di pelbagai peringkat telah dengan tegas menolak sebarang usaha untuk meratifikasi ICERD.
"Bantahan ini diambil perhatian serius oleh pucuk pimpinan Bersatu," katanya.
Katanya, keputusan kabinet hari ini adalah manifestasi betapa kerajaan Pakatan Harapan mengambil serius pandangan rakyat Malaysia, khususnya orang Melayu, dalam mempertimbangkan ratifikasi ICERD.
"Antara tunjang perlembagaan yang terkait dengan ICERD ialah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan yang menjelaskan tentang kedudukan istimewa orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak serta hak-hak yang sah bagi semua kaum.
"Hak keistimewaan ini adalah satu komponen yang amat sensitif dan kritikal kerana ianya berpaksikan kepada kontrak sosial yang telah dipersetujui lebih 60 tahun dahulu. Keistimewaan yang termaktub di dalam Perkara 153 ini tidak mempunyai hadhad tempoh tertentu," jelasnya.
Dalam pada itu, beliau berkata berdasarkan keputusan kerajaan Pakatan Harapan untuk tidak meratifikasi ICERD, cadangan gabungan UMNO dan Pas untuk mengadakan perhimpunan membantah ratifikasi ICERD adalah tidak lagi relevan dan bersifat retorik.
"Oleh yang demikian, UMNO dan PAS sewajibnya membatalkan perhimpunan tersebut bagi mengelakkan ianya dijadikan medan untuk membangkatkan isu-isu sensitif seterusnya menggugat keharmonian negara.
"UMNO dan Pas perlu menyedari bahawa rakyat telah memberi mandat kepada Pakatan Harapan untuk meletakkan kembali Malaysia pada landasan yang kukuh dan seterusnya menjadikan Malaysia bukan sahaja sebagai “Harimau Asia” tetapi juga sebagai paksi kepada pertumbuhan ekonomi Asia," katanya lagi.
Terdahulu, Pejabat Perdana Menteri dalam kenyataannya pada Jumaat berkata kerajaan tidak akan meratifikasi dan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan.
"Kerajaan akan terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan di mana di dalamnya termaktub kontrak sosial yang telah dipersetujui oleh wakil semua kaum semasa pembentukan negara ini," menurut kenyataan itu.
#Bahasa Melayu
#Bersatu
#diskrimasi kaum
#ICERD
#Islam
#Melayu
#Pakatan Harapan
#Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#Perkara 153
#Perlembagaan Persekutuan
#Radzi Jidin
#Sabah
#Sarawak