LARUT: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengeluarkan notis berhubung status kedudukan enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Bharu.

Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin berkata, notis tersebut akan dikeluarkan selepas mesyuarat Majlis Tertinggi Bersatu yang sepatutnya diadakan dalam masa terdekat tetapi ditangguhkan kerana PRK Kuala Kubu Bharu.

Menurutnya, segala tindakan yang akan diambil adalah mengikut lunas undang -undang.

“Untuk mempastikan segala tindakan yang diambil selepas ini mematuhi undang-undang, kita telah menubuhkan satu jawatankuasa untuk melihat secara terperinci bagaimanakah tindakan seharusnya diambil ke atas mereka itu selepas ini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri Parlimen Larut di Dewan Semai Bakti Felda Ijok di sini, hari ini.

Menurut Hamzah, Bersatu telah mengikut langkah yang perlu dan akan mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi untuk mengesahkan segala tindakan yang akan diambil.

“Arahan itu akan saya terima daripada Majlis Tertinggi dan kemudian saya akan hantar semua kepada bukan hanya kepada enam orang Ahli Parlimen tetapi juga semua ADUN dan Ahli Parlimen Bersatu.

“Maka ia bermakna tindakan yang akan kita ambil ini bukan hanya semata-mata kepada mereka tetapi kepada semua wakil rakyat kita di seluruh negara,” ujarnya.

Ditanya tindakan wakil-wakil rakyat terbabit yang seolah-olah tidak kesah dengan tindakan yang bakal diambil kerana kononnya ia akan mengambil masa yang lama, Hamzah berkata, tidak perlu komen kerana mereka akan tahu sekiranya tindakan telah diambil.

“Saya tak perlu nak komen tentang perkara ini, kalau dah kena esok baharu dia (mereka) tahu.

“Biarkan, biarkan sebab manusia ni mempunyai perasaan kadang-kadang dia psycho diri dia, sebenarnya dia takut, dia kata ‘ah tak takut’ sebenarnya dia nak melegakan hati dia, itu yang sebenarnya,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan enam ahli Parlimen berkenaan ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Datuk Zulkafperi Hanapi (Tanjung Karang), Zahari Kechik (Jeli), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), Datuk Suhaili Abdul Rahman Labuan dan seorang ADUN Selat Klang, Datuk Abdul Rashid Asari.

Pada 2 April lalu, media melaporkan Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (RoS) telah meluluskan permohonan pindaan perlembagaan Bersatu yang membolehkan parti itu mengosongkan kerusi enam ahli Parlimen yang bertindak memberi sokongan kepada pihak lawan.