Bersatu Sabah pertahan enam kerusi Parlimen dimenangi pada PRU lalu - Ketua Srikandi
Astro Awani
Ogos 10, 2022 14:45 MYT
Ogos 10, 2022 14:45 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Sabah akan mempertahan enam kerusi parlimen yang dimenangi parti itu pada pilihan raya umum lalu.
Ketua Srikandinya, Datuk Seri Azizah Mohd. Dun menegaskan, Bersatu Sabah tidak akan berkompromi terhadap mana-mana kerusi yang dimenangi sekali gus ia dipertahankan.
"Enam kerusi parlimen itu ialah Kudat, Ranau, Beaufort, Sipitang, Beluran dan Libaran yang dimenangi pada Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14)," katanya selepas mempengerusi mesyuarat bulanan Srikandi Bersatu Sabah pada Selasa.
Enam kerusi Parlimen tersebut diwakili Datuk Abdul Rahim Bakri (Kudat), Datuk Azizah Mohd Dun (Beaufort), Yamani Hafez Musa (Sipitang) Datuk Jonathan Yassin (Ranau), Datuk Seri Ronald Kiandee (Beluran) dan Datuk Zakaria Edris (Libaran).
Azizah yang juga Ahli Parlimen Beaufort turut menggesa seluruh jentera Srikandi Bersatu Sabah bersiap sedia menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) tidak lama lagi.
Menurutnya, pengundi muda yang berusia 18 tahun ke atas yang didaftarkan secara automatik perlu didekati bagi menyelami masalah dan isu yang membelenggu golongan berkenaan.
“Srikandi Bersatu akan terus memperkasakan program-program mendekati rakyat selain melakukan proses tambah nilai untuk memperkasakan jentera parti menghadapi PRU-15.
“Kita juga mesti merancang pelbagai strategi untuk memikat hati pengundi-pengundi muda ini. Saya berharap Srikandi Muda Sabah akan mengambil peranan dan merancang program ke arah menarik minat anak muda ini,” ujarnya.