Bersatu pinda perlembagaan, guna kaedah satu ahli satu undi

Bernama
Ogos 16, 2018 05:03 MYT
Mukhriz berkata sekurang-kurangnya 140,000 anggota Bersatu yang mendaftar sebelum 30 April lepas layak mengundi manakala yang berdaftar selepas tarikh itu termasuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak layak untuk mengundi.
Perlembagaan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan dipinda bagi membolehkan kaedah pemilihan menggunakan cara satu ahli, satu undi digunapakai dalam pemilihan parti yang dijangka berlangsung tahun ini.
Pengerusi Jawatankuasa Penambahbaikan Perlembagaan Parti Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir berkata, pindaan perlembagaan parti itu akan dibuat selepas Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) dalam masa terdekat.
"Kalau ikut perlembagaan parti, sistem pemilihan akan guna pakai sistem perwakilan seperti diamalkan UMNO tetapi Bersatu ingin buat lebih baik dan putuskan di mana undian dibuat di bahagian dengan setiap ahli yang layak memberi satu undi sahaja, bukan ikut perwakilan.
"Jadi, kita akan adakan EGM ini untuk dapatkan kelulusan pada pindaan ini sebelum menyerahkannya kepada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS). Bila dapat kelulusan daripada RoS baru perlembagaan ini dapat dipinda dan boleh digunapakai," katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media selepas sesi penggulungan perbahasan usul menjunjung kasih titah Sultan Kedah pada persidangan Dewan Undangan Negeri di Wisma Darul Aman di sini pada Khamis.
Mukhriz berkata sekurang-kurangnya 140,000 anggota Bersatu yang mendaftar sebelum 30 April lepas layak mengundi manakala yang berdaftar selepas tarikh itu termasuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) tidak layak untuk mengundi.
Sementara itu, Mukhriz yang juga Timbalan Presiden Bersatu berkata pihaknya juga sedang merangka kaedah pemilihan selain akan menetapkan tarikh yang sesuai untuk melaksanakan pengundian itu dengan semua jawatan dipertandingkan.
"Kita akan rangka kaedah tersebut malah Jawatankuasa Pemilihan parti (JPP) Bersatu juga sudah diwujudkan dan kepimpinan tertinggi parti juga sudah bersetuju melantik bekas veteran UMNO, Tan Sri Syed Hamid Albar sebagai Pengerusi JPP Bersatu.
"Sementara itu, Tan Sri Megat Najmuddin Megat Khas dilantik sebagai Pengerusi Lembaga Displin Bersatu. Kedua-dua lantikan itu mula berkuatkuasa pada 10 Ogos lalu," katanya. -- Bernama
#Bersatu #EGM #Lembaga Disiplin #Megat Najmuddin Megat Khas #mengundi #mesyuarat agung luar biasa #Mukhriz Mahathir #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #pemilihan parti #Perlembagaan #pindaan #PPBM #sistem perwakilan
;