Bersatu Perak sokong pelan cadangan penyatuan Muhyiddin
Abd Razak Mohd Ali
Julai 22, 2024 10:30 MYT
Julai 22, 2024 10:30 MYT
IPOH: Badan Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak membuat ketetapan sebulat suara menyokong penuh seruan pelan cadangan penyatuan yang diilhamkan Presiden parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin semasa Konvensyen Bersatu baru-baru ini.
Setiausahanya, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, ketetapan itu diputuskan pada mesyuarat Jawatankuasa Badan Pimpinan Bersatu Perak, di sini, malam tadi.
Menurutnya, Bersatu Perak amat yakin dan percaya cadangan dan ilham Presiden itu mampu mewujudkan keharmonian dan kesepaduan dalam kalangan pimpinan hinggalah ke peringkat ahli akar umbi.
“Badan Pimpinan Negeri Perak akur dan menyatakan taat setia kpd Presiden dan mendokong prinsip mengutamakan kepentingan parti drp individu demi survival parti dalam mengharungi perjuangan ke arah Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16),” katanya dalam kenyataan pagi ini.
Zainol berkata, mereka juga membuat ketetapan sebulat suara memberi sokongan penuh kepada Timbalan Presiden, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu sekiranya beliau berhasrat bertanding jawatan Naib Presiden pada pemilihan parti akan datang.
Dalam masa sama, ujarnya, mereka Badan juga menyokong mana-mana pimpinan Perak yang menawarkan diri bertanding di peringkat Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) dan sayap-sayap parti pada pemilihan parti di peringkat pusat pada pemilihan 2024
Pada 13 Julai lalu, Muhyiddin Yassin mengumumkan Setiausaha Agung, Datuk Seri Hamzah Zainuddin bakal 'naik pangkat' dan ke jawatan Timbalan Presiden parti pada pemilihan akan datang.
Ahmad Faizal yang juga Pengerusi Bersatu Perak pula mengakui bahawa keputusan untuk melepaskan jawatan dan memberi laluan kepada Hamzah dilakukan secara rela hati.