Bersatu Pengerang lapor polis isu FB Johor Bulletin

Sinar Harian
Mei 1, 2018 11:02 MYT
Abdul Razak (kiri) bersama Baharuddin menunjukkan laporan polis dibuat di IPD Kota Tinggi. - Foto Sinar Harian
Bersatu Bahagian Pengerang membuat laporan polis berikutan kenyataan di Facebook Johor Bulletin menggunakan nama pemangku ketuanya mendakwa calon PKR Parlimen Pengerang, Norliza Ngadiran bakal muflis.
Pemangku Ketua Bahagian Bersatu Pengerang, Abdul Razak Budu berkata, laporan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Tinggi itu untuk menafikan kenyataan yang dimuat naik di Facebook berkenaan.
"Mereka menggunakan nama dan wajah saya dalam muat naik di Facebook berkenaan yang mana kenyataan tersebut bukan datang dari saya," katanya kepada Sinar Harian.
Dalam pada itu, Ketua Penerangan Bersatu Pengerang, Baharuddin Miran turut menafikan Facebook Johor Bulletin dikendalikan oleh Bersatu bahagian tersebut.
Dia turut meminta pihak pengendali Facebook berkenaan agar meminta maaf kepada Bersatu Pengerang berikutan memuat naik kenyataan sekali gus merosakkan nama Bersatu bahagian itu.
"Kita juga minta mereka agar menutup laman Facebook berkenaan. Sekiranya mereka tidak membuat permohonan maaf kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan undang-undang," katanya.
Kelmarin, Norliza membuat laporan polis selepas tular di laman Facebook mendakwa dirinya bakal muflis.
Ketua Srikandi Bersatu Johor itu memaklumkan dia telah membuat laporan di Balai Polis Bandar Penawar.
Menerusi kenyataan di Facebook berkenaan menyiarkan Bersatu Bahagian Pengerang bukan menolak Norliza hanya kerana dia menetap di Pontian.
Sebaliknya dalam muat naik itu turut mendakwa mereka membantah kerana Norliza seorang yang akan bankrap tidak lama lagi setelah diarahkan oleh mahkamah untuk membayar lebih RM400,000 kepada beberapa pihak termasuk bank.
#Bersatu #calon #Facebook #Johor #laporan #muflis #Norliza Ngadiran #pengerang #polis #PPBM
;