Bersatu Negeri Sembilan bubar, masalah dalaman antara punca - Muhyiddin

Madiha Abdullah
September 27, 2018 15:04 MYT
MUHYIDDIN: Kita berhadapan banyak masalah, dan atas nasihat RoS, kita ambil keputusan bubar dan lantik kepimpinan baharu. -Astro AWANI / Shahir Omar
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Negeri Sembilan hari ini dibubarkan serta-merta.
Hal itu diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikutan pelbagai masalah dan pelanggaran perlembagaan parti di situ.
"Kita berhadapan banyak masalah, dan atas nasihat Pendaftar Pertubuhan (RoS), kita ambil keputusan untuk bubar dan akan melantik kepimpinan baharu," kata Muhyiddin dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat pimpinan tertinggi Bersatu di Petaling Jaya, hari ini.
Muhyiddin turut memaklumkan pelantikan Tan Sri Rais Yatim untuk mengetuai penubuhan baru Bersatu di Negeri Sembilan.
Turut dibubarkan adalah dua bahagian Bersatu di Selangor, iaitu Ampang dan Subang, atas sebab yang sama.
Dalam pada itu, Muhyiddin menafikan tindakan membubarkan Bersatu Negeri Sembilan akan memberi kesan negatif kepada kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Port Dickson.
"Keputusan ini (pembubaran) terpaksa dibuat kerana ia dibimbangi akan menjadi lebih teruk.
"Tetapi saya percaya ia tidak akan menjejaskan PRK nanti dan semua anggota akan memberi sokongan penuh dan turun membantu kempen Pakatan Harapan," katanya.
#Ampang #Bersatu #Muhyiddin Yassin #Negeri Sembilan #Pakatan Harapan #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #pilihan raya kecil #PPBM #presiden #Rais Yatim
;