Bersatu masuk Sabah: DAP enggan ulas, tunggu penjelasan Shafie
Radhi Muslim
Februari 17, 2019 09:45 MYT
Februari 17, 2019 09:45 MYT
Penasihat DAP Lim Kit Siang enggan memberi komen mengenai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang merancang mahu mengembangkan sayapnya ke Sabah.
Sebaliknya, veteran parti itu menegaskan, perlu menunggu sehingga Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Shafie Apdal dan Pengerusi Bersatu Tun Dr Mahathir Mohamad memberikan kenyataan lanjut berhubung isu berkenaan.
"Saya rasa, kita perlu tunggu Ketua Menteri, kerana ini di antara mereka," katanya ketika ditemui media pada Majlis Rumah Terbuka Tahun Baru Cina DAP Sabah di Dewan Masyarakat Sandakan, pada Sabtu.
Sementara itu, Pengerusi DAP Sabah Datuk Stephen Wong Tien Fatt pula berkata, beliau menyokong Mohd Shafie sepenuhnya dalam hal ini.
"Mohd Shafie melakukan kerja yang baik dan berusaha gigih dalam mengatur semula pentadbiran Sabah.
"Saya rasa dia (Mohd Shafie) harus diberikan peluang. Ia (Bersatu) sudah janji tidak masuk, tapi apa boleh kita buat?” katanya.
Bagaimanapun, Wong turut berpendapat, DAP sebaiknya menunggu perkara itu dijelaskan sendiri oleh Mohd Shafie yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan).
Pada Jumaat, Dr Mahathir mengumumkan Bersatu bersetuju untuk menubuhkan cawangannya di Sabah bagi membolehkan bekas anggota UMNO Sabah menyertainya.
Katanya, keputusan itu dibuat selepas anggota UMNO Sabah yang bertindak keluar parti tidak mahu menyertai Warisan yang merupakan sekutu Pakatan Harapan (PH).
Disember lalu, Dr Mahathir berkata Bersatu tidak akan memasuki Sabah, sementara Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata parti itu akan mengambil langkah berhati-hati sebelum melebarkan sayapnya ke Sabah.
Penganalisis politik berpendapat keputusan terbaru Dr Mahathir itu bertujuan menjaga survival Bersatu supaya 'setanding' dengan parti lain dalam Pakatan Harapan, khususnya PKR dan DAP.
Oleh itu, menurut Prof Madya Awang Azman Awang Pawi dari Universiti Malaya, langkah itu tidak akan disenangi PKR dan DAP.