Bersatu mampu laksana tanggungjawab bentuk naratif politik berwibawa - Pakar

Astro Awani
September 9, 2021 15:58 MYT
Bersatu meraikan ulang tahun kelima penubuhan parti itu, yang akan disambut secara rasmi pada Jumaat ini - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) wajar berperanan penting dalam membentuk wacana dan naratif politik pribumi dan nasional yang berwibawa, membina dan berkesan di semua peringkat kepimpinannya, demi keselamatan dan kelangsungan negara dan rakyat.
Pakar Pertahanan, Datuk Ruhanie Ahmad berkata Bersatu mampu melaksanakan tanggungjawab tersebut kerana mempunyai pucuk pimpinan yang luhur, warga pejuang yang dedikasi, serta budaya politik yang tulus.
Selain itu, katanya keyakinan itu berdasarkan semangat juang Bersatu yang pantang 'berputih mata', dan iktikad perjuangan yang sentiasa menjauhi segala kemungkaran yang pernah meruntuhkan kuasa pribumi sebelum ini.
"Perkembangan politik nasional kebelakangan ini sedang menduga seluruh ciri-ciri murni Bersatu di atas. Jangan sekali-kali mengaku kalah demi kebenaran yang sangat dirindui rakyat jelata pada ketika ini.
"Namun, Bersatu tidak mampu bertindak keseorangan. Jemaah perjuangannya bersama Pas serta lain-lain anggota Perikatan Nasional (PN) wajar diperkukuh dan dirapikan.
"Segelintir pembesar UMNO yang sedang penasaran wajar disantuni seadanya dan sepadanya," katanya dalam satu kenyataan, di sini hari ini.
Bersatu meraikan ulang tahun kelima penubuhan parti itu, yang akan disambut secara rasmi pada Jumaat ini.
Mengulas lanjut, bekas Ahli Parlimen Parit Sulong itu berkata, keluarga besar PN dan keanggotaan ahli bersekutu Bersatu yang berbilang kaum wajar segera diperbesar dan diperkasakan.
Jelas beliau, dalam perjuangan hari ini tidak ada sesiapa yang berpangkat 'abang' atau bertaraf 'adik'.
"Keluarga Malaysia hanya memerlukan satu wadah perjuangan bersama secara lurus dan berpaksikan lunas-lunas kemakrufan.
"Rakyat selaku tunggak negara usah diabaikan dan warga perkhidmatan awam selaku tunggak institusi pemerintahan jangan dipinggirkan.
"Jalinan perjuangan dengan dua kumpulan ini wajar sentiasa bercorak aur dengan tebing. Pendekatan atau strategi perjuangan, dasar dan program politik Bersatu dan PN perlu menjurus ke arah kesejahteraan, kemakmuran dan keselamatan bersama rakyat Malaysia seluruhnya," ujar beliau.
Dalam masa yang sama, Ruhanie berkata generasi muda mesti didampingi secara berterusan supaya mereka sudi bersama dalam perjuangan nasional selaras dengan citarasa mereka.
Sementara itu, golongan pemikir dan cerdik juga pandai wajar didampingi supaya menyumbang bakti kepada proses pembentukan negara-bangsa.
Tambah beliau, ulang tahun penubuhan Bersatu yang kelima kali ini perlu dijadikan langkah permulaan ke arah memantapkan perjuangan nasional PN menerusi naratif dan wacana yang bermanfaat untuk semua.
Katanya, semua pihak perlu mengetepikan kemelut politik nasional dan bina semula semangat perjuangan berasaskan norma baharu, tuntutan baharu dan realiti baharu menerusi azam, iktikad dan pendekatan yang juga serba baharu.
#Bersatu #Bersatu ulangtahun ke-5 #Keluarga Malaysia #Perikatan Nasional
;