Bersatu lulus pindaan untuk tangguh pemilihan parti

Irwan Muhammad Zain
Julai 20, 2019 21:00 MYT
Tun Dr Mahathir Mohamad (tengah) bersama Tan Sri Muhyiddin Yassin (kiri) dan Datuk Seri Mukhriz Tun Dr Mahathir (kanan) pada Perhimpunan Agung Khas PPBM di MAEPS Serdang hari ini. - Foto BERNAMA
Perhimpunan Agung Khas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) meluluskan pindaan perlembagaan bagi membolehkan pemilihan parti itu ditangguhkan selama 18 bulan bermula daripada tarikh sepatutnya ia diadakan.
Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Mukhriz Mahathir yang juga pengerusi jawatankuasa pindaan perlembagaan memaklumkan 79 daripada 80 pindaan dicadangkan berjaya diluluskan.
"Perwakilan EGM bersetuju Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) boleh tangguh pemilihan parti selama 18 bulan daripada tarikh sepatutanya ia diadakan," katanya pada sidang media selepas Perhimpunan Agung Khas, di Maeps, Serdang, pada Sabtu.
Hadir sama Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad yang juga Pengerusi Bersatu dan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Mukhriz berkata, melalui penangguhan itu Bersatu boleh mengadakan pemilihan parti sama ada hujung tahun ini ataupun selewat-lewatnya Jun tahun depan.
Mengulas mengenai 80 pindaan perlembagaan dikemukakan, Mukhriz menjelaskan ia termasuk pindaan dan cadangan penambahbaikan perlembagaan parti itu.
Ditanya mengenai satu usul pindaan yang tidak diluluskan, beliau enggan mengulas lanjut, sebaliknya hanya memaklumkan ia membabitkan soal keahlian.
"80 pindaan dibuat, ada yang dipinda dan ada tambahan kepada fasal-fasal tertentu dalam perlembagaan.
"Satu saja tidak dipersetujui (pindaan), tidak signifikan dan hanya masalah kecil soal keahlian," tambahnya.
#Bersatu #Mahathir Mohamad #Muhyiddin Yassin #Mukhriz Mahathir #Parti Pribumi Bersatu Malaysia #Perhimpunan Agung Khas #Timbalan Presiden Bersatu
;