Bersatu Labuan bersiap sedia hadapi PRU15
Bernama
Oktober 17, 2021 06:00 MYT
Oktober 17, 2021 06:00 MYT
LABUAN: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Labuan menyiapkan jentera pilihan rayanya bagi memastikan parti itu bersedia pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang.
Ketua bahagiannya Datuk Suhaili Abdul Rahman berkata jentera parti telah memulakan persediaan di peringkat cawangan, Pemuda dan Wanita bagi memastikan Bersatu Bahagian Labuan memainkan peranan proaktif pada pilihan raya itu.
"Ketika ini, usaha gerak kerja jentera parti sedang diperkemas dan diperkukuh," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Persidangan Agung Tahunan Cawangan-Cawangan Parti Pribumi Bersatu Malaysia Bahagian labuan 2021 di Dewan Konvensyen Ujana Kewangan pada Ahad.
Beliau berkata kemelut politik negara ketika ini menyebabkan Bersatu mengambil langkah bersiap sedia untuk menghadapi sebarang situasi.
Katanya Persidangan Agung Tahunan cawangan pada Ahad dan bahagian pada 14 November depan juga antara persediaan Bersatu Labuan untuk PRU15.
-- BERNAMA