Bersatu kesal dengan situasi politik di Perak - Hamzah Zainuddin
Fareez Azman
Disember 4, 2020 19:26 MYT
Disember 4, 2020 19:26 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) menzahirkan rasa kesal berhubung situasi yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak hari ini.
Perkara itu dimaklumkan Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin dalam satu kenyataan media sebentar pada Jumaat.
"Biro Politik Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dalam mesyuaratnya petang ini menzahirkan rasa amat kesal dengan apa yang berlaku dalam persidangan Dewan Undangan Negeri Perak pada hari ini.
"Bersatu ambil maklum bahawa Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak telah ditolak oleh UMNO dan Pakatan Harapan," jelasnya.
Tambah Hamzah, Bersatu sentiasa berpegang teguh dengan prinsip persefahaman dan kerjasama yang terbentuk antara parti-parti Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sejak awal tahun ini demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara.
"Sehubungan itu, Bersatu ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada 4 ADUN Bersatu, 3 ADUN Pas, 1 ADUN UMNO dan 2 ADUN Bebas yang telah menyokong Usul Keyakinan Majoriti Ahli Dewan terhadap YAB Menteri Besar Perak.
"Bersatu akan memantau situasi semasa dan akan terus bersama Pas dan teman-teman parti anggota Perikatan Nasional yang lain dalam membuat keputusan selanjutnya," katanya lagi.
Terdahulu, ADUN Chenderiang yang juga Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu gagal mendapat sokongan majoriti dalam usul undi percaya terhadapnya di Sidang Dewan Undangan Negeri pagi Jumaat dengan 48 menolak manakala 10 lagi ADUN menyokong dan satu undi berkecuali.
#Hamzah Zainuddin
#PPBM
#UMNO
#PAS
#Pakatan Harapan
#Menteri Besar
#ADUN
#Perikatan Nasional
#politik
#usul undi percaya
#Setiausaha Agung Bersatu