Bersatu Kedah sokong Sanusi tidak bubar DUN
Sinar Harian
September 18, 2022 07:30 MYT
September 18, 2022 07:30 MYT
ALOR SETAR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Kedah menyokong keputusan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk tidak membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN) sehingga tamat penggal.
Ketua Penerangan Bersatu Kedah, Khairul Anuar Ramli berkata, pendirian parti itu selari dengan Muhammad Sanusi kerana mandat untuk menerajui kerajaan yang diberikan rakyat adalah untuk tempoh lima tahun.
Menurutnya, ini disusuli pula dengan keadaan negara kini yang berdepan situasi ekonomi yang belum stabil akibat daripada pandemik COVID-19.
“Sepatutnya tumpuan diberikan untuk kerajaan fokus kepada isu-isu menstabilkan kembali agenda ekonomi,” katanya kepada Sinar Harian di sini pada Ahad.
Khairul Anuar tegaskan, pada ketika ini kerajaan tidak perlu melayan kelompok-kelompok yang rakus kuasa sehingga mengabaikan kepentingan rakyat dan negara.
"Saya percaya rakyat juga setuju supaya kerajaan negeri pimpinan Muhammad Sanusi meneruskan mandat mentadbir Kedah sehingga tamat penggal.
“Ini mandat yang diberikan pengundi kepada kerajaan agar beri perhatian untuk angkat ekonomi rakyat,” katanya.
Sebelum ini, Muhammad Sanusi telah beberapa kali tegaskan Kedah tidak akan membubarkan DUN sehingga tamat tempoh penggal, sekiranya Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) diadakan dalam masa terdekat.
Terbaharu, pada 4 September, Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang memaklumkan, tiga negeti ditadbir Pas, iaitu Kelantan, Terengganu dan Kedah tidak akan bubarkan DUN masing-masing lebih awal sebelum Mac 2023.
Dalam pada itu, Khairul Anuar berkata, penggunaan logo parti untuk Perikatan Nasional (PN) bertanding pada PRU15 wajar diputuskan dalam mesyuarat badan tertinggi PN.
“Ini kerana setiap tindakan yang babitkan perkara bersama rakan gabungan, perlu dibincang dan diperhalusi supaya manfaat tersebut membantu PN untuk menang pilihan raya akan datang,” katanya. - Sinar Harian