Bersatu ke Sabah: Mungkin wujudkan hubungan dingin Warisan dan PH: Penganalisis
Rahimah Abdullah
Februari 15, 2019 16:36 MYT
Februari 15, 2019 16:36 MYT
Pengumuman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk bertapak di Sabah dijangka mewujudkan hubungan dingin antara Parti Warisan Sabah (Warisan) dan Pakatan Harapan (PH), ujar Penganalisis politik dari Universiti Malaya (UM), Prof Madya Awang Azman Awang Pawi.
Ia berikutan keputusan dibuat Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad itu adalah bertentangan dengan hasrat Presiden Warisan, Datuk Seri Shafie Apdal yang berharap parti itu tidak akan masuk ke Negeri Di Bawah Bayu berkenaan.
"Bersatu ingin meluaskan sayapnya dengan jauh lagi di Sabah juga. Namun keperluan Bersatu itu walaupun Sabah sudah ada parti Warisan, dan Datuk Seri Shafie memohon ihsan agar Bersatu tidak memasuki Sabah nampaknya tidak berjaya. Malah, Tun Mahathir memuktamadkan Bersatu tetap ke Sabah. Bekas orang UMNO mahu masuk Bersatu, tetapi bukan mahu masuk Warisan oleh sebab parti Warisanlah menewaskan UMNO pada Pilhan Raya Umum ke-14 (PRU14). Untuk elak pergolakan, maka Bersatu lebar sayap ke Sabah," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Pada masa sama, parti komponen dalam PH akan turut melahirkan perasaan tidak puas hati terhadap keputusan Pengerusi Bersatu, Tun Dr Mahathir Mohamad itu.
"Keputusan Tun Dr Mahathir itu lebih menjaga kepentingan dan menjaga survival Bersatu itu sendiri supaya lebih ramai ahli parlimen dalam Bersatu. Maka mereka cuba nak setanding dengan parti lain khususnya PKR dan DAP. Saya percaya DAP dan PKR akan melahirkan rasa tidak setuju dan ketidakpuasanhati mereka. Namun, keputusan ini nampaknya adalah keputusan Pengerusi PH yang sudah membuat keputusan terlebih dahulu," katanya semasa dihubungi Astro AWANI pada Jumaat.
Bagaimanapun, beliau yakin konflik berkenaan akan dapat ditangani secara bersama.
"Untuk masa terdekat, sudah pasti hubungan dingin akan berlaku antara Parti Warisan Sabah, Ketua Menteri Sabah , Kerajaan Negeri Sabah , dengan Putrajaya melalui tindak-tanduk Tun Dr Mahathir yang terkini. Namun saya pasti kompenan Pakatan Harapan akan menggunakan saluran mereka untuk berdiplomasi dan untuk memastikan tindakan tersebut akan memberi kesan yang minima dan bukan maksimum kepada PH," ujar beliau.
Pada satu sidang media pada Jumaat, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan akan mula bertapak di Sabah tidak lama lagi.
Bagaimanapun beliau menafikan tujuan menubuhkan parti Bersatu di Sabah adalah untuk memberi saingan kepada parti Warisan.
#Astro
#Astro Awani
#DAP
#kerajaan
#Ketua Menteri
#Mahathir Mohamad
#Malaysia
#Malaysia Baharu
#Media
#menteri
#Pakatan Harapan
#Parlimen
#PKR
#politik
#PPBM
#presiden
#PRU14
#Putrajaya
#Shafie Apdal
#UM
#UMNO