Bersatu jangan cuba jadi UMNO - Syed Saddiq

Wan Syamsul Amly
Disember 29, 2018 12:19 MYT
Syed Saddiq meminta supaya Ahli dan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta tidak menjadikan parti itu seperti UMNO dengan mengamalkan unsur sogokan dalam politik - FotoBERNAMA
Ahli dan pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) diminta tidak menjadikan parti itu seperti UMNO dengan mengamalkan unsur sogokan dalam politik.
Ketua Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada), Syed Saddiq Syed Abdul Rahman berkata, ia termasuk menolak petualang UMNO yang disifatkan berhijrah ke Bersatu dengan alasan mahu bertukar kiblat.
"Ramai kata Bersatu sudah jadi UMNO 2.0. UMNO 3.0. Banyak sangat UMNO-style. Petualang UMNO ramai buat hijrah ke Bersatu. Dikatanya ubah kiblat. Ini yang kita tidak mahu ada dalam Bersatu.
"Selamanya Bersatu tidak akan jadi UMNO. Bersatu tidak perlu ada sogok menyogok dalam politik. Bersatu tidak perlu jual negara untuk survival politik.
"Bersatu tidak perlu hipokrit dan mainkan isu perkauman untuk politik. Menang atau kalah di Putrajaya, Bersatu tidak boleh dan tidak akan sesekali menggunakan amalan dan cara UMNO untuk survival politik. Ini yang membezakan kita dan mereka," katanya semasa ucapan dasar Ketua Armada di di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Sabtu.
Dalam pada itu, Syed Saddiq memberitahu, Armada bukanlah bahan pelaris yang hanya menghiasi poster atau slogan parti semata-mata.
"Saya sentiasa mengingatkan pimpinan tertinggi supaya sentiasa meletakkan Armada dalam posisi yang betul dan tepat untuk
Bersatu.
"Ada terlalu banyak potensi di dalam Armada. Ingatlah. UMNO jatuh kerana sikap pemimpin tertinggi mereka yang mengabaikan kumpulan anak muda.
"Hari ini, barulah mereka kononnya ingin mengangkat anak muda. Tetapi, ia sudah terlambat untuk UMNO," ujarnya.
#Bersatu #Malaysia #PATBersatu2018 #politik #PPBM #Putrajaya #Syed Saddiq Syed Abdul Rahman #UMNO
;