Bersatu hadapi musuh, henti serang sesama sendiri - Pesanan Ku Li pada pemimpin UMNO

Muhafandi Muhamad
Julai 3, 2022 11:22 MYT
Veteran UMNO, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa pemimpin-pemimpin parti itu agar tidak saling menyerang antara satu sama lain. - Gambar fail
GUA MUSANG: Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah menggesa pemimpin-pemimpin UMNO agar tidak saling menyerang antara satu sama lain.
Veteran UMNO itu berkata, tindakan sedemikian perlu dilakukan bagi mengelak serta memecah belahkan perpaduan parti terbesar orang Melayu itu.
Katanya, tindakan segelintir pemimpin yang ‘berkelahi’ sesama sendiri secara tidak langsung memberi kesan dalaman parti itu.
“Saya rasa UMNO tidak akan berpecah begitu dahsyat. Tinggal lagi, apa juga perbalahan antara pemimpin akan memberi kesan kepada perpaduan dalam parti.
“Kita sepatutnya bersatu dengan kuat menghadapi musuh menjelang pilihan raya umum tetapi kalau kita terus ‘berkelahi’ sesama kita atau berlainan pendapat kita akan menjadi lemah. Musuh kita akan ambil kesempatan untuk meracuni fikiran pengikut-pengikut masingp-masing,” kata Tengku Razaleigh.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu dalaman yang tercetus dalam kalangan pemimpin UMNO sejak kebelakangan ini.
Pada Isnin lalu, dalam sidang media susulan pemecatan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mendakwa, Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak berpuas hati dengan kedudukan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang juga Naib Presiden UMNO sebagai Perdana Menteri kerana Ahli Parlimen Bagan Datuk itu bercita-cita untuk memiliki jawatan tersebut.
Katanya, taktik mengumpan Ismail Sabri dengan pencalonan 'poster boy' atau bakal Perdana Menteri UMNO-Barisan Nasional pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) didakwa Tajuddin sebagai sebahagian usaha Ahmad Zahid untuk menjadi Perdana Menteri segera.
#henti serang #pemimpin UMNO #Tengku Razaleigh Hamzah #PRU15
;