Bersatu hadapi defisit keyakinan pemimpin sendiri - Zahid Hamidi
Irwan Muhammad Zain
Januari 29, 2022 15:55 MYT
Januari 29, 2022 15:55 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sedang menghadapi defisit keyakinan dalam kalangan pemimpin sendiri, kata Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam satu hantaran di Facebooknya, Zahid mendakwa, Bersatu yang suatu ketika duhulu mendabik dada akan menggantikan UMNO kini dilaporkan akan kehilangan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) di Johor.
Beliau berkata, perkara itu dapat dilihat apabila media menyebut beberapa ADUN Bersatu di Johor mahu keluar parti dan menyertai semula UMNO.
“Kesahihah berhubung perkara itu pada akhirnya empunya diri jua ada jawapan, namun jika benar ia suatu refleksi yang jelas lagi nyata.
“Maka apakah rasional dan kewajarannya untuk rakyat pula diminta supaya menyakini parti tersebut sedangkan sebahagian pimpinan akar umbinya tidak?
“Sebenarnya itulah perbezaan ketara antara tulis dan tiruan, autentik dan rekaan. Pastinya yang original adalah berkualiti berbanding ciplak,” katanya dalam hantaran yang dimuat naik pada Sabtu.
Dalam pada itu, Ahmad Zahid berkata, asas perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan negara telah lama disemat dalam parti tersebut dan ia adalah asli bukan retorik atau cuma agitasi politik.
“Bukan juga baru terbentuk atas asas perjuangan politik individu, dendam kesumat, dengki dan sakit hati serta bertujuan menzalimi seteru.
“Kesimpulannya, UMNO sebenar-benarnya parti politik yang ikhlas dan jujur mementingkan rakyat serta negara dalam perjalanan politiknya,” kata Ahli Parlimen Bagan Datuk itu lagi.
Jelas beliau, parti politik yang cuba menyamai UMNO untuk memperdaya sokongan pengundi hanyalah bayangan semata-mata, tidak benar dan palsu.
Pada Khamis, ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang yang juga bekas Pengerusi Bersatu Johor mengumumkan meninggalkan parti itu dan memberikan sokongan kepada Barisan Nasional dan Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad.