Bersatu bukan mahu rampas hak kaum lain - Tun Mahathir
Irwan Muhammad Zain
Julai 20, 2019 16:51 MYT
Julai 20, 2019 16:51 MYT
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tun Dr Mahathir Mohamad menegaskan partinya berjuang bukan untuk merampas hak kaum lain.
Sebaliknya beliau menegaskan Bersatu berjuang untuk mendapatkan hak orang Melayu yang sememang sudah ada dalam negara ini.
Dr Mahathir menegaskan perkara tersebut ketika meyampaikan ucaptama Perhimpunan Agung Khas Bersatu di MAEPS, Serdang pada Sabtu.
“Kita tidak dapat nafi bahawa orang Melayu ketinggalan dan kerana itu Bersatu berjuang bukan mahu merebut hak orang lain tetapi kita mahu merebut hak kita dalam negara ini,” katanya.
Dalam ucapannya Dr Mahathir mengingatkan ahli-ahli Bersatu supaya mengambil contoh bagaimana rakyat menolak UMNO yang lupa kepada perjuangan asal parti itu.
Beliau juga menegaskan bahawa UMNO dan perjuangannya tidak salah sebaliknya sikap pemimpin parti itu yang lebih mengutamakan kemahuan peribadi menyebabkan rakyat menolak mereka.
“UMNO tidak salah, perjuangan UMNO untuk agama, bangsa dan tanah air tidak salah.
“Tetapi perjuangan UMNO terpesong apabila ada pemimpin lebih mengutamakan diri sendiri atau isteri mereka,” katanya lagi.
Dr Mahathir juga mengingatkan ahli-ahli Bersatu bahawa banyak parti-parti di luar negara yang sebelum ini berjuang untuk kemerdekaan akhirnya musnah akibat sikap pemimpin yang melupakan perjuangan asal parti.
“Di Indonesia, di Pakistan dan di Ghana, parti yang dahulunya ditubuhkan untuk memperjuangkan kemerdekaan kini sudah tidak ada lagi.
“Ini semua berlaku apabila lari dari perjuangan asal dan lebih mengutamakan kepentingan peribadi.
“Maka akhirnya, di negara-negara ini sudah tidak ada lagi parti yang berjuang untuk kemerdekaan negara mereka,” katanya.
Justeru Dr Mahahir berharap agar ahli-ahli dan pemimpin Bersatu terus berjuang untuk agama, bangsa dan negara.
#agama
#bangsa
#Bersatu
#Mahathir Mohamad
#Melayu
#parti politik
#pemimpin
#Politik Malaysia
#PPBM
#UMNO