Bersatu belum luluskan penyertaan bekas pemimpin UMNO - Muhyiddin
Rahimah Abdullah
Disember 28, 2018 19:11 MYT
Disember 28, 2018 19:11 MYT
Tiada permohonan keahlian bekas pemimpin UMNO yang diluluskan untuk menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) setakat ini, ujar Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Jelasnya, parti tetap berpendirian untuk memastikan mereka yang mahu menyertai Bersatu perlu melalui tempoh tertentu serta beberapa syarat lain.
"Tiada seorang (pemimpin) UMNO yang diluluskan. Seperti yang kita nyatakan kepada umum sebelum ini, mereka perlu melalui suatu tempoh yang dinamakan cooling period," katanya dalam sidang media sempena hari pertama Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Jumaat.
Antara syarat yang perlu dilalui pemimpin UMNO berkenaan ialah mereka perlu menjadi anggota bebas, selain bebas kes jenayah dan rasuah.
"Mereka kena jadi anggota bebas dan perlu melalui proses seperti bebas dakwaan rasuah dari SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), melalui proses dengan polis iaitu bebas jenayah.
"Manakala bagi isu politik, mereka mesti cukup bagus untuk menyertai Bersatu dan mereka mesti mampu memberi sumbangan kepada parti. Jadi, setakat ini belum ada yang diluluskan untuk sertai Bersatu kerana mereka belum habis lalui cooling period itu," tambahnya.
#Bersatu
#Muhyiddin Yassin
#Parti Pribumi Bersatu Malaysia
#perhimpunan
#Perhimpunan Agung Bersatu
#Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu
#PPBM
#SPRM
#UMNO