Bersatu ambil tindakan susulan terhadap enam ahli Parlimen - Muhyiddin

Sinar Harian
April 27, 2024 14:17 MYT
Muhyiddin ketika hadir pada penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu pada Sabtu. - Foto Sinar Harian
HULU SELANGOR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) kini sedang melaksanakan tindakan susulan terhadap enam ahli Parlimennya yang menyokong Perdana Menteri selepas meminda Perlembagaan parti bulan lalu.
Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, tindakan tersebut dilakukan mengikut Perlembagaan Persekutuan dan parti selaras Akta Lompat Parti.
"Saya dah maklum hari itu selepas kita (bincang) panjang lebar dan tidak perlu umumkan ini sebagai satu strategi.
"Prosedur itu kita akan patuh supaya tiada kesilapan pihak yang bertanggungjawab, yang penting perlu ambil terhadap mereka (enam ahli Parlimen)," katanya ketika ditemui selepas penamaan calon Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu di sini pada Sabtu.
Sebelum ini media melaporkan, Bersatu menyerahkan kepada Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Hamzah Zainudin untuk melaksanakan notis berhubung status kedudukan enam ahli Parlimennya yang menyokong Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Langkah itu susulan pindaan terhadap Perkara 10 perlembagaan parti itu, yang akan melucutkan serta-merta keahlian wakil rakyatnya jika menyatakan sokongan kepada mana-mana pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti.
Enam ahli Parlimen terbabit ialah Datuk Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abu Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Datuk Dr Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Datuk Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar) dan Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Labuan).
Sementara itu, mengulas mengenai dakwaan akan berlaku boikot susulan meletakkan calon Melayu, Pengerusi PN itu menegaskan, tindakan sedemikian hanya akan merugikan rakyat Kuala Kubu Baharu.
"Sebagai pengundi, tidak sepatutnya berbuat demikian. Kalau mereka boikot, ia beri kelebihan kepada calon Pakatan Harapan (PH) dan Bebas.
"Kalau mereka tidak puas hati, gunakan hak mengundi dan jadi pembangkang yang berkesan," ujarnya.
*Artikel asal yang disiarkan di Sinar Harian
#Bersatu #tindakan terhadap ahli Parlimen #sokong Pedana Menteri #Muhyiddin Yassin #pinda perlembagaan parti
;