Bersatu akan hati-hati sebelum masuk Sabah, kata Muhyiddin

Astro Awani
Disember 24, 2018 05:27 MYT
Muhyiddin ketika menjawab pertanyaan media pada temu bual khas di Ibu Pejabat Bersatu, Petaling Jaya, 24 Dis, 2018. --fotoBERNAMA
Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan mengambil langkah berhati-hati sebelum melebarkan sayapnya ke Sabah, kata Presidennya Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Menurutnya, ini disebabkan, Bersatu pada asalnya membuat perjanjian bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) untuk tidak masuk ke negeri itu kerana mahu Warisan berkembang di sana.
"Strategi kita betul. Sebab itu tanpa kita pun mereka menang (dalam Pilihan Raya Umum ke-14), kerana tidak bertembung, ada kerjasama dengan PH (Pakatan Harapan), dia sudah berjaya.
"Tetapi (ada) orang Sabah sudah tidak tahan-tahan lagi dan ingin cepat (Bersatu di Sabah). Jadi sekarang kalau ada tuntutan baru, dan orang nak suruh tubuh Bersatu di sana, kita kena berhati-hati.
"Ada perkara perlu diselesaikan," katanya dalam temu bual dengan beberapa organisasi media di ibu pejabat Bersatu di sini pada Selasa.
Beliau berkata demikian susulan permohonan 2,000 rakyat Sabah pada Ahad untuk menyertai Bersatu walaupun parti itu tidak mempunyai cawangan dan bahagian di sana.
Antara langkah yang boleh diambil, kata Muhyiddin, jika ada rakyat Sabah yang mahu masuk Bersatu, mereka boleh diserap masuk ke Warisan.
Namun, jika ini tidak dipersetujui, Bersatu perlu berunding lebih lanjut dengan Warisan.
"Saya beritahu Shafie, awak rundingkanlah dahulu, biar semua masuk Warisan, selesai," katanya merujuk kepada Presiden Warisan yang juga Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal
BACA: 13 wakil rakyat UMNO Sabah, termasuk pengerusi negeri keluar parti
BACA: UMNO Sabah tidak terbubar, Bung Moktar dilantik pengerusi
Tambahnya lagi, tiada tempoh waktu rundingan ditetapkan namun isu berkaitan strategi keahlian ini perlu diselesaikan cara baik dengan mewujudkan persefahaman antara satu sama lain.
"Jika itu selesai, katakanlah sebahagian besar ahli UMNO tidak mahu sertai Warisan, dan mahu sertai kita (Bersatu), jadi kita tidak boleh elak dan kena tubuh bahagian, cawangan.
"Namun perlu ada persefahaman agar tidak bertembung dalam pilihan raya umum hingga memecahkan undi.
"Ini isu-isu strategi yang perlu diselesaikan. Kita tidak boleh masuk (Sabah), rempuh sebegitu sahaja, kena hati-hati," katanya.
Tegas Muhyiddin yang juga Menteri Dalam Negeri, persefahaman antara Bersatu dan Warisan amat penting agar dua parti ini tidak bertembung di dalam pilihan raya.
Menurutnya, isu Bersatu memasuki Sabah adalah antara perkara yang dijangka dibahaskan pada Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu hujung bulan ini.
BACA: Rakyat Sarawak sertai Bersatu kerana mahu lawan rasuah - Akar umbi
BACA: Bersatu ada peluang di Sarawak, tapi sukar kerana...
Mengenai kehadiran Bersatu di Sarawak pula, Muhyiddin berkata ia juga memerlukan pendekatan berhati-hati supaya kehadiran mereka tidak akan menimbulkan masalah dengan Gabungan Parti Sarawak (GPS), terutama selepas mereka mengumumkan sebagai pro-PH sebelum ini.
"Kita sudah lancarkan Bersatu di Sarawak. Tapi kita kena hati-hati kerana situasi di Sarawak berbeza dengan Sabah dan Semenanjung Malaysia. Kita kena pastikan kemasukan (ahli) tidak menjadi masalah.
"Gabungan Parti Sarawak kata mereka pro-PH… apa makna itu? Mereka telah buat keputusan berkaitan mengenai Petronas yang kita lihat kalau tidak hadapi dengan hati-hati, ia akan membawa kesan besar kepada operasi Petronas. Jadi itu yang kena runding," katanya.
BACA: Bersatu cipta sejarah dilancarkan di Sarawak
Selepas kekalahan Barisan Nasional pada pilihan raya umum lalu, ia dibubarkan di Sarawak dan digantikan dengan GPS.
#berhati-hati #Bersatu #Gabungan Parti Sarawak #GPS #Mohd Shafie Apdal #Muhyiddin Yassin #Pakatan Harapan #Parti Warisan Sabah #Perhimpunan Agung Tahunan Bersatu #Petronas #pilihan raya umum #PPBM #Sabah #Sarawak #UMNO
;