Bersatu ada peluang di Sarawak, tapi sukar kerana...
Diyana Ibrahim
Disember 1, 2018 09:27 MYT
Disember 1, 2018 09:27 MYT
PARTI Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempunyai peluang untuk bertapak di Sarawak yang mempunyai penduduk hampir tiga juta itu namun akan berdepan dengan laluan sukar kata penganalisis politik.
Pensyarah Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) Prof Madya Dr Jeniri Amir berkata faktor kredibiliti Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai Perdana Menteri selain Bersatu yang berada di pihak kerajaan dilihat sebagai satu kelebihan buat parti itu melebarkan sayapnya di Sarawak.
“Parti politik Sarawak tidak boleh pandang enteng kehadiran Bersatu kerana, atas beberapa sebab, ia dipimpin Perdana Menteri yang berwibawa dan berpengaruh.
“Apabila di pihak kerajaan Bersatu mempunyai kekuatan sumber, kewangan kukuh yang membolehkan parti itu menggerakkan jentera akar umbi dalam meluaskan pengaruh di luar bandar,” katanya kepada Astro AWANI.
Bagaimanapun, walau Bersatu berada di pihak kerajaan, tetap tidak menjamin ia mempunyai peluang cerah bertapak di negeri Bumi Kenyalang itu.
“Ia tidak semudah berjalan di taman, kerana Bersatu akan berdepan dengan seribu satu cabaran.
“Sarawak ini ada terlalu banyak parti. Bersatu kena tahu kaum mana yang lebih responsif kepada mereka. Tapi saya rasa mungkin mereka sasarkan kepada Melayu Melanau atau Bidayuh," jelas beliau.
Kenapa Bersatu, tidak UMNO?
Umum mengetahui pendirian tegas Sarawak menolak UMNO untuk bertapak di negeri itu.
Menurut pensyarah UNIMAS, usaha UMNO untuk bertapak di Sarawak telah bermula seawal 1963 namun ia tidak berjaya.
Namun, pelancaran Bersatu Sarawak mencetuskan persoalan bagaimana parti serpihan UMNO itu boleh diterima di negeri berkenaan.
Selama hampir enam dekad, UMNO tidak berjaya untuk bertapak di Sarawak.
Mengulas mengenai itu, pensyarah politik Universiti Utara Malaysia (UUM) Prof Dr Mohd Azizizuddin Mohd Sani berkata ia kerana UMNO telah terikat dengan perjanjian bersama Barisan Nasional.
“Bersatu tiada perjanjian sebegitu dan parti tersebut memang untuk pribumi," jelasnya.
Tambahnya, Bersatu perlu jelaskan visi mereka untuk Sarawak supaya hala tuju parti itu dapat difahami rakyat.
PKR lebih dominan daripada Bersatu
Pensyarah Kanan Universiti Malaya Prof Madya Dr Awang Azman Awang Pawi turut senada menyatakan bahawa ketika ini kepimpinan Bersatu Sarawak tidak dikenali ramai.
Tegas beliau, berdasarkan jumlah kerusi, Bersatu bukan parti yang dominan sebaliknya Parti Keadilan Rakyat (PKR)
Bersatu mempunyai 14 kerusi manakala PKR ada 51 kerusi.
“Jadi laluan Bersatu agak sukar. Lebih-lebih lagi terpaksa akur dalam isu pengagihan kerusi untuk bertanding Pilihan Raya Negeri akan datang.
Katanya, Bersatu dapat mengukuhkan kedudukannya di Sarawak jika ada pemimpin terkenal daripada Gabungan Parti Sarawak (GPS) menyertai parti itu.
Beliau berkata, buat masa ini majoriti 80 peratus Melayu dan Melanau menyokong GPS, begitu juga dengan sokongan Iban yang membentuk 70 peratus.
Pada masa yang sama, 60 peratus Orang Ulu menyatakan sokongan kepada Pakatan Harapan.
Berdasarkan kajian, perubahan sokongan turut berlaku iaitu 60 peratus etnik Bidayuh menyokong Pakatan Harapan manakala 80 peratus etnik Cina.