'Berikan majoriti tertinggi kepada BN pada PRU14 nanti' - Ahmad Husni
Aida Aziz
April 1, 2018 13:25 MYT
April 1, 2018 13:25 MYT
Ahli Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah menyeru pengundi di kawasan itu supaya memberikan kemenangan dengan majoriti tertinggi kepada Barisan Nasional (BN) untuk membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum (PRU) ke-14 nanti.
Bekas Menteri Kewangan II itu juga meminta pengundi memberi sokongan penuh kepadanya sekiranya diberi kepercayaan oleh pucuk pimpinan untuk bertanding mempertahankan kerusi Parlimen Tambun.
Katanya, sokongan tersebut perlu bagi membolehkannya terus memikul tanggungjawab berkhidmat untuk rakyat selepas PRU14.
Ahmad Husni merupakan Ahli Parlimen Tambun empat penggal selepas memenangi PRU pada 1999. Pada PRU13 lalu, beliau memenangi kerusi Parlimen Tambun dengan menewaskan calon PKR, Siti Aishah Shaik Ismail dengan majoriti 9,325 undi.
"Saya seru kepada masyarakat di Tambun untuk memberikan majoriti tertinggi dalam sejarah Parlimen Tambun kerana kita sebenarnya patut berterima kasih pada kerajaan.
"Kalau dibandingan dengan Parlimen lain, di sini merupakan salah satu tempat yang paling banyak pembangunan, oleh itu dalam PRU kali ini tunjukkanlah penghargaan dengan memberi undi tertinggi kepada BN," katanya kepada pemberita dalam program Jom Minum Pagi dan Penyampaian Surat Kelulusan Pembinaan Dewan Komuniti Taman Chepor Damai bersama penduduk Chepor Damai.
Dalam pada itu, Ahmad Husni berkata sehingga kini pembangkang sedaya upaya ingin membentuk kerajaan, di mana menurut mereka PRU kali ini menjadi penentu kepada segala-galanya.
"Mereka (pembangkang) kata ini kali terakhir untuk dapatkan pemerintahan disebabkan perancangan serta penambahbaikan yang dibuat oleh kerajaan akan menyaksikan sokongan meningkat lebih tinggi.
"Dalam kata lain, kalau kita (BN) dapat memerintah lima tahun akan datang maka kekuatan pembangkang dengan sendirinya akan terhakis disebabkan kemajuan dan pencapaian yang berjaya dilaksanakan oleh kerajaan BN.
"Mana ada dalam dunia sekarang pembangunan sesebuah negara capai sehingga 5.9 peratus, kalau di Singapura, England dan Jepun misalnya hanya 1 dan 2 peratus sahaja. Ini menjadikan peratusan negara kita yang tertinggi di dunia," ujar Ahmad Husni.
Sementara itu, Pengerusi Pembangunan Dewan Komuniti Taman Chepor Damai, Mohammad Nasri Bostami berkata, pembinaan dewan bernilai RM300,000 itu bakal memberikan kemudahan buat penduduk untuk menjalankan program kemasyarakatan.
Projek di bawah pelaksanaan Pejabat Daerah dan Tanah Kinta, Batu Gajah itu juga akan memulakan kerja-kerja pembinaan tidak lama lagi.
#Ahli Parlimen Tambun
#Ahmad Husni Hanadzlah
#Barisan Nasional
#BN
#parlimen tambun
#pilihan raya umum
#PRU14
#Tambun