Beri semula peluang BN tadbir Pulau Pinang - Ismail Sabri
Bernama
September 2, 2016 07:53 MYT
September 2, 2016 07:53 MYT
Rakyat Pulau Pinang perlu memberi semula peluang kepada Barisan Nasional (BN) untuk mentadbir negeri ini selepas DAP gagal menyelesaikan isu-isu berbangkit sepanjang lapan tahun memerintah.
Anggota Majlis Tertinggi UMNO Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata semua manifesto yang dibuat DAP pada pilihan raya umum lepas, gagal ditunaikan malah manifesto itu semata-mata untuk parti itu merampas Pulau Pinang daripada BN.
"Sejak daripada mula lagi DAP menguasai kerajaan negeri, segala janji yang dibuat tidak pun dilaksanakan...tol, jambatan dan sebagainya merupakan janji pilihan raya, tidak dilaksanakan.
"Kononnya mereka ingin membentuk sebuah kerajaan yang bersih. Kalau kita tak sedar lagi tentang pembohongan oleh DAP ini, saya rasa kita ataupun Pulau Pinang akan menghadapi masalah...kerana segala janji tak ditunaikan, mereka hanya nak dapat undi," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan persidangan perwakilan UMNO Bahagian Bayan Baru, di sini Jumaat malam.
Ismail Sabri yang juga Menteri Kemajuan Luar Bandar dan Wilayah berkata kerajaan DAP Pulau Pinang juga dilihat gagal membuktikan mereka sebuah parti yang bersih, telus dan amanah apabila turut berhadapan dengan isu rasuah.
Beliau berkata sudah tiba masanya pengundi Pulau Pinang mengembalikan tampuk kepimpinan kepada BN kerana DAP bukanlah parti yang terbaik mentadbir negeri ini setelah gagal menunaikan manifesto mereka selama dua penggal memerintah.
"Sebelum ini, gambaran yang diberikan oleh DAP bahawa mereka adalah kerajaan yang bersih...yang kotor hanya BN. Tapi hari ini nampak gayanya mereka lebih kotor.
"Lepas satu kes, satu kes. Kalau dulu manifestonya kerajaan bersih itu yang menyebabkan orang percaya kepada mereka, jadi saya rasa mereka tak perlu percaya lagi," katanya.
Terdahulu ketika merasmikan persidangan itu, Ismail Sabri menasihatkan anggota UMNO supaya tidak mudah terperangkap dengan agenda pembangkang yang membangkitkan isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB) sehingga memecah belahkan parti.
Beliau berkata anggota UMNO tidak perlu hanya fokus kepada isu yang dibawa oleh pembangkang, sebaliknya memberi tumpuan kepada isu-isu yang membelenggu parti pembangkang.
"Tumpuan kita setahun lebih ini hanya pada isu 1MDB, tak buat kerja lain... sedangkan kita patut serang (Ketua Menteri) Lim Guan Eng, contohnya isu penyelewengan penjualan tanah, sepatutnya itu tumpuan kita..isu tambakan laut, isu bapa ADUN DAP patut kita mainkan," katanya.
Sementara itu, UMNO Bahagian Bayan Baru membawa usul menyokong kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak sebagai Presiden UMNO.