Beri ruang dan peluang kepada pihak yang mahu mengukuhkan parti - Anwar Ibrahim

Hasimi Muhamad
Jun 20, 2021 15:35 MYT
Tegas Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, apa yang penting ialah pihak tersebut mampu mematuhi peraturan yang ditetapkan parti dan mengukuhkah jemaah parti. - Foto Facebook PKR
KUALA LUMPUR: Ahli Parti Keadilan Rakyat (PKR) perlu terbuka dan tidak bersikap keras dalam menerima mana-mana pihak yang mahu menyertai parti itu.
Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menyampaikan ucapan Penggulungan Pada Kongres Nasional Keadilan ke-15 pada Ahad berkata, parti itu perlu memberi ruang dan peluang kepada pihak-pihak berkenaan walaupun mereka pernah bersekongkol dengan 'kartel' atau mempunyai 'sejarah' tertentu.
Tegas Anwar yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, apa yang penting ialah pihak tersebut mampu mematuhi peraturan yang ditetapkan parti dan mengukuhkan jemaah parti.
"Saya juga tidak boleh beri kata dua, sama ada kamu terima orang itu atau kita tolak kamu tolak parti, atau kamu tolak itu baru kami terima... ini bukan jemaah.
"Yang menentukan akhirnya ahli, kalau dia pilih dalam proses demokratik, kita kena rangkul cuma kita kena tetapkan supaya peraturan dipatuhi.
"Melainkan mereka itu nyata terbukti melanggar peraturan parti. Mereka juga harus ingat dengan sejarah yang lampau itu, akan menimbulkan sedikit kerisauan melainkan mereka berbuat sesuatu dalam langkah dan tindakan untuk menunjukkan bahawa yang berlalu sudah dan kita maju terus," katanya ketika menyampaikan ucapan tersebut secara maya pada Ahad.
Sebelum ini media melaporkan Anwar tidak menolak kemungkinan menjalinkan kerjasama dengan UMNO, walaupun perbincangan mengenainya masih belum dilakukan secara formal.
Anwar dalam ucapan dasarnya hari ini juga berkata PKR tidak terlepas daripada memiliki ahli yang memiliki sikap khianat, korup dan rasuah.
Untuk itu beliau menyeru, semua ahli supaya terus berpegang dan mempertahankan idealisme perjuangan parti, yang menolak sebarang unsur rasuah, salah guna kuasa dan khianat.
Mengulas lanjut, Anwar menegaskan walaupun segelintir ahli PKR telah menukar haluan dan meninggalkan parti, namun parti itu tetap berpegang kepada prinsip perjuangan.
Katanya, pimpinan Keadilan kini dilihat sebagai mampu menjadi alternatif.
"Jangan anggap ini satu yang biasa dan mudah kerana ini track record perjuangan kita... kegigihan rakan-rakan kita, sebahagiannya telah meninggalkan kita bukan meninggal dunia atau bersara kerana keuzuran, (tetapi) sebahagiannya telah melemparkan buku-buku prinsip perjuangan reformasi dan menjadi tali barut sistem yang bobrok.
"Tetapi landasan itu kita masih terus. Orang sampai sekarang mempertikaikan mengapa kita menjadi parti pelbagai kaum, tidak pernah sedikit pun terjejas dan langkah pandangan kita terikat dengan prinsip Perlembangan, tentang kedudukan orang Melayu, bahasa dan orang Islam," katanya lagi.
#Anwar Ibrahim #PKR #Kongres Tahunan Keadilan #politik #kerjasama politik #Pakatan Harapan #berita hari ini #berita Malaysia
;