Beri peluang GPS terus majukan Sarawak - Fadillah Yusof
Astro Awani
September 18, 2020 15:14 MYT
September 18, 2020 15:14 MYT
Naib Yang Dipertua Kanan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Fadillah Yusof menyarankan rakyat Sarawak untuk terus memberikan mandat dan sokongan kepada Gabungan Parti Sarawak (GPS) untuk terus memerintah negeri.
Katanya, GPS berjaya membuktikan bahawa segala janji bukan hanya omong kosong malah parti itu terus memberikan komitmen penuh untuk pembangunan dan kebajikan rakyat dan negeri Sarawak.
Jelasnya contoh terbaik dapat disaksikan bagaimana kerajaan negeri menangani cabaran di saat dunia masih berperang dengan pandemik COVID-19.
“Ini terbukti sewaktu kita masih berhadapan dengan wabak COVID-19, walaupun ada peruntukan dan bantuan Kerajaan Pusat, kerajaan negeri tetap tampil dengan inisiatif membantu rakyat di negeri ini.
“Bantuan diberikan kepada semua yang terkesan baik golongan yang menjalankan perniagaan, mereka yang hilang pekerjaan, bukan sekadar bantuan wang ringgit malah pelbagai bentuk bantuan lain turut diberikan,” kata Fadillah.
Selain itu ujarnya mandat wajar diberikan kepada Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk terus memimpin Sarawak bagi merealisasikan hasrat menjadikan negeri Bumi Kenyalang sebagai negeri termaju menjelang 2030.
“Berilah peluang kepada Yang Amat Berhormat Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg untuk menang dan diberi mandat untuk terus memimpin Sarawak, In Shaa Allah, saya yakin Sarawak boleh menjadi negeri termaju di Malaysia menjelang 2030,” tambahnya lagi.
Katanya lagi, GPS juga akan terus mengutamakan hak setiap lapisan masyarakat dan hak negeri Sarawak dan ia akan terus diperjuangkan.
“Hak negeri Sarawak akan terus diperjuangkan dan ia tidak pernah diketepikan sebagai contoh semalam (Khamis) kita sudah mendapat bayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada Petronas.
“Pastinya rundingan ini akan berterusan dan selepas ini banyak lagi pengumuman hasil perbincangan ini yang boleh kita kongsikan bersama warga Sarawak,” ujarnya.
Beliau berkata demikian ketika sesi temubual khas bersama media di Kuching pada Jumaat.
#AWANI Sarawak
#COVID-19
#Cukai Jualan Negeri SST
#Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg
#Datuk Seri Fadillah Yusof
#Gabungan Parti Sarawak
#GPS
#Parti Pesaka Bumiputera Bersatu
#PBB
#Petronas
#Sarawak