Beri laluan Najib kemudi parti pada PRU15 - Ketua UMNO Kubang Pasu
Astro Awani
April 13, 2021 14:20 MYT
April 13, 2021 14:20 MYT
KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Tun Razak mempunyai kelebihan untuk kembali memimpin UMNO dan membawa kebangkitan semula parti berkenaan seperti sebelum ini.
Ketua UMNO Bahagian Kubang Pasu, Datuk Ahmad Zaini Japar berkata, bekas Perdana Menteri itu juga boleh berperanan menguatkan semula UMNO dan mengemudi parti pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) nanti.
Menurut beliau, imej Najib juga semakin hari semakin diterima kembali rakyat serta ahli parti sendiri.
"Najib mampu untuk memainkan peranannya memimpin UMNO semula. Dalam hal ini peranan Najib boleh digunakan untuk menghidupkan balik dan menguatkan parti," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.
Presiden MIC, Tan Sri SA Vigneswaran sebelum ini menjelaskan, antara masalah yang perlu diselesaikan jika benar Barisan Nasional (BN) ingin bertarung sendiri dalam PRU15 kelak adalah memutuskan siapa yang akan menjadi calon Perdana Menteri.
Dalam pada itu, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Setiawangsa, Datuk Mohd. Irwan Rizal berkata, pemilihan UMNO perlu dilakukan segera demi menyelesaikan pelbagai isu kepimpinan sedia ada.
Tegasnya, imej Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi sudah tercalar dan seumpama tiada taring lagi untuk mengemudi parti ekoran kebocoran rakaman audio yang didakwa perbualan telefon antara beliau dan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
"Ia merupakan salah satu faktor untuk pemilihan tidak boleh ditangguhkan lagi. Majlis Tertinggi (MT) perlu mengadakan mesyuarat dan menetapkan agar pemilihan diadakan tanpa sebarang penangguhan.
"Penangguhan pemilihan tidak menjamin bahawa UMNO akan semakin kuat. Telah terbukti sebelum ini, pemilihan ditangguhkan selepas Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14), UMNO dan Barisan Nasional (BN) kalah," katanya.
Ujarnya, paling utama adalah memastikan pemilihan Presiden yang mampu dijadikan ikon sekali gus diketengahkan sebagai calon Perdana Menteri.
Tambahnya, pemilihan kali ini juga amat penting kerana ia merupakan peluang kepada UMNO untuk memberi nafas baharu dalam sekali gus menyediakan barisan kepimpinan yang akan diketuai oleh individu yang mempunyai ciri-ciri seorang ketua kerajaan.
Sebelum ini, beberapa Ketua Bahagian UMNO menyarankan Ahmad Zahid untuk mengundur diri daripada terus memegang jawatan utama parti.