Beri kepercayaan kepada PM, pimpinan UMNO bincang bila PRU15 - Reezal Merican
Astro Awani
Mac 13, 2022 22:01 MYT
Mac 13, 2022 22:01 MYT
KUALA LUMPUR: Semua pihak dalam UMNO perlu memberi ruang, mandat dan kepercayaan kepada Perdana Menteri dan pucuk pimpinan berbincang dalam menentukan masa tepat untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Reezal Merican Naina Merican, berkata menyusun strategi kemenangan tidak boleh berasaskan seluruhnya kepada gempita emosi semata-mata.
Jelas beliau, kebijaksanaan pemimpin perlu dibawa ke meja perbincangan dan bermuafakat untuk menggilap asas kekuatan sebenar.
"Kita di dalam kepimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) ini ada kaedah dan cara tersendiri serta berpegang kepada disiplin parti.
"Keputusan untuk perkara sepenting ini, kita tidak boleh bincang di sebarang tempat. Kepimpinan parti dan Perdana Menteri (Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob) perlu duduk bersama untuk membincangkannya.
"Ini kerana, kita perlu akui bahawa hanya Perdana Menteri mempunyai kuasa Perlembagaan, constitutional power untuk menasihati Yang di-Pertuan Agong supaya Parlimen dibubarkan. Tidak ada orang lain.
"Namun, untuk Perdana Menteri memohon sembah menghadap KDYMM Tuanku, sudah pastinya ia perlu dirundingi sedalam-dalamnya dengan kepimpinan parti, MKT dan Dewan Tertinggi BN," katanya dalam satu kenyataan di Facebooknya.
Beliau juga berpendapat, peratusan keluar mengundi yang rendah dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka dan Johor wajar dilihat dalam konteks yang lebih strategik.
Katanya, kelelahan politik yang sedang dialami sekarang jika diteruskan dengan PRU dalam masa yang tidak sesuai dikhuatiri boleh menghasilkan keputusan yang berbeza daripada apa yang diharapkan.
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan juga menjelaskan pertambahan pengundi hampir sebanyak tujuh juta dalam PRU15 juga mesti diurus dengan baik oleh Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Kita tidak meremehkan sikap profesional SPR. Namun, PRU dalam landskap baharu memerlukan persediaan jauh lebih rapi. Segala ruang dan sistem pilihan raya perlu efisien, kemas dan dalam keadaan terbaik.
"Sebab itulah, penentuan tarikh PRU haruslah strategik. Sebagai kerajaan yang bertanggungjawab, segala angkubah yang ada wajar dipastikan mantap dan padu.
"Ekonomi diletak pada landasan pemulihan, poket rakyat terisi, kesihatan awam terpelihara, kemampuan dan wibawa kerajaan di tahap yang terbaik.
"Ini semua memerlukan penelitian. Keputusan Perdana Menteri perlu juga didukung seutuhnya oleh segenap kekuatan jentera parti," katanya.