Beri jawatan TPM kepada UMNO jika mahu PN stabil - Penganalisis
Astro Awani
Oktober 28, 2020 13:28 MYT
Oktober 28, 2020 13:28 MYT
KUALA LUMPUR: Kestabilan Perikatan Nasional (PN) boleh dicapai sekiranya Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin sedia memberikan jawatan timbalan perdana menteri kepada UMNO, kata penganalisis politik Dr Mohammad Tawfik Yaakob.
Dr Mohammad Tawfik menjelaskan pembahagian jawatan yang sesuai berdasarkan nisbah bilangan Ahli Parlimen perlu dilaksanakan untuk memastikan gencatan politik yang diumumkan oleh UMNO bertahan lama.
Jelas beliau, UMNO sebagai parti terbesar dalam kerajaan sewajarnya diberi jawatan timbalan perdana menteri
"UMNO perlu diberikan tempat yang cukup dalam kerajaan misalnya wujudkan jawatan timbalan perdana menteri berikan kepada parti-parti yang cukup dominan dalam kerajaan.
"Kalau kita lihat hari dua agihan jawatan tidak begitu sesuai misalnya dari parti Bersatu ada dua menteri kanan, macam mana UMNO tidak marah?
"Maka perlu ditangani dan difikirkan semula oleh Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pentabiran negara bagaimana untuk meredakan ketegangan dalaman PN.
"Kalau nak selesaikan masalah lebih besar perlu diselesaikan masalah kecil dengan baik kemudian wujudkan kerjasama lebih kukuh melibatkan parti dalam PN," katanya kepada Astro AWANI.
Dr Mohammad Tawfik juga menggesa agar semua Ahli Parlimen baik dari kerajaan atau pembangkang untuk duduk semeja berbincang bagi memastikan Belanjawan 2021 diluluskan.
Jelas beliau, perkara itu penting kerana belanjawan dibentangkan untuk kepentingan rakyat bukan demi kedudukan ahli-ahli politik.