Berhenti serang PAS atau hadapi risiko PR berpecah - Ahmad Yakob

Bernama
Mei 28, 2015 23:19 MYT
AHMAD YAKOB: "Nasihat saya kalau sayang Pakatan, jangan serang lagi pimpinan kita (PAS), ini sebenarnya bukan bawa kebaikan tetapi bawa rebah (kejatuhan). - Gambar Fail
DAP perlu berhenti menyerang PAS jika tidak mahu melihat pakatan pembangkang berpecah, kata Timbalan Mursyidul Am PAS Datuk Ahmad Yakob.
Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Kelantan berkata pemimpin DAP terutamanya Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng perlu berhenti mengkritik PAS kerana ia tidak membawa sebarang kebaikan kepada Pakatan.
"Nasihat saya kalau sayang Pakatan, jangan serang lagi pimpinan kita (PAS), ini sebenarnya bukan bawa kebaikan tetapi bawa rebah (kejatuhan).
"Kalau semua saling serang-menyerang dalam Pakatan, sah pakatan akan pecah," katanya kepada pemberita selepas majlis penyerahan kunci Rumah Mampu Milik Kelantan di sini, pada Khamis.
BACA: Abdul Hadi telah fikir panjang hubungan PAS dan DAP - MB Kelantan
BACA: DAP konsisten suruh PAS keluar Pakatan Rakyat - Nik Abduh
BACA: Guan Eng dakwa Abdul Hadi tikam Pakatan Rakyat dari belakang
Ahmad berkata demikian ketika diminta mengulas tindakan DAP yang sentiasa mengkritik PAS sejak kebelakangan ini, selain tindakan DAP memutuskan hubungan dengan Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang baru-baru ini.
Menteri Besar Kelantan itu berkata keputusan PAS untuk kekal atau sebaliknya dalam pakatan pembangkang juga dijangka diputuskan pada Muktamar Tahunan PAS ke-61 yang berlangsung awal Jun ini.
"Itu (keputusan keluar dari pakatan) tunggu Muktamar kerana ia merupakan suara paling tinggi... jadi kita perlu tunggu," katanya.
Sebelum ini, Timbalan Pesuruhjaya I PAS Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah dilaporkan berkata Muktamar berkenaan akan menjadi medan penentu sama ada PAS akan berundur atau terus kekal dalam pakatan pembangkang.
Muktamar Tahunan PAS akan berlangsung pada 4 hingga 6 Jun ini di Kuala Selangor, Selangor.
#DAP #Keadilan #Pakatan Rakyat #PAS #PKR