Berhenti beri tekanan kepada Agong, Raja-Raja Melayu - Bersatu

Astro Awani
Oktober 24, 2020 23:01 MYT
Mohd Rafiq berkata pemimpin politik perlu berhenti memberi tekanan yang tidak sepatutnya kepada institusi diraja itu.
KUALA LUMPUR : Semua pihak harus memberi ruang kepada Yang di-Pertuan Agong dan Raja-Raja Melayu untuk membincangkan cadangan yang dipersembahkan oleh kerajaan terutama mengenai penularan COVID-19.
Naib Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen, berkata pemimpin politik perlu berhenti memberi tekanan yang tidak sepatutnya kepada institusi diraja itu.
"Pemimpin politik perlu menghentikan segera kempen berbaur hasutan untuk memberi tekanan kepada Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu dengan harapan keputusan yang bakal diputuskan kelak akan memihak kepada agenda serta kepentingan politik masing-masing.
"Saya yakin, Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Raja-Raja Melayu akan membuat keputusan yang terbaik dengan mengambil kira kepentingan rakyat Malaysia sebagai asas pertimbangan utama tanpa tunduk dengan tekanan mana-mana pihak," katanya dalam satu kenyataan malam ini.
BACA: Pertemuan YDPA dan Raja-Raja Melayu dijangka berlangsung esok
BACA: Agong berkenan adakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu
BACA: LAPOR LANGSUNG: Darurat? Ini perkembangan politik negara
Hari ini, Istana Negara dalam satu kenyataan mengesahkan, Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menerima sembah taklimat Perdana Menteri berhubung cadangan-cadangan yang telah dicapai Mesyuarat Khas Jemaah Menteri semalam.
Susulan itu, baginda akan mengadakan rundingan dengan Raja-Raja Melayu dalam masa terdekat bagi membincangkan dan memperhalusi cadangan-cadangan yang dikemukakan Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Semalam, spekulasi tersebar, kerajaan bakal mengisytiharkan darurat susulan mesyuarat khas tersebut, yang dilaporkan turut dihadiri Panglima Angkatan Tentera Jen Tan Sri Affendi Buang.
#Bersatu #tekanan kepada Agong #Raja-raja Melayu #Naib Presiden Bersatu #Mohd Rafiq Naizamohideen #Istana Negara #darurat
;