Berbahaslah dengan berhemah - Budiman

Irwan Muhammad Zain
Mac 30, 2018 11:43 MYT
Kata Budiman, ketika sidang Dun Selangor, pihak kerajaan Selangor cuma membenarkan setiap parti diwakili seorang wakil untuk berbahas. -Gambar Astro AWANI
Setiap wakil rakyat sama ada di Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri perlu mempunyai sikap budiman ketika berbahas dan berhujah.
Selain itu, setiap wakil rakyat tidak kira dari pihak kerajaan atau pembangkang perlu membuat persiapan dan mempunyai data untuk berbahas dan berhujah mewakili parti masing-masing.
Bagi Ahli Parlimen Sungai Besar, Budiman Mohd Zohdi, beliau cuba bersikap gentleman ketika sesi perbahasan Rang undang-undang (RUU) kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu di Dewan Rakyat baru-baru ini.
"Dalam masa 10 minit masa yang diberikan Speaker tetapi 4 minit pertama penghujahan diganggu oleh pihak pembangkang.
"Pada saya kita perlu ada sikap gentleman dalam masa berbahas biarpun ada masa singkat saya bagi YB Batu (Tian Chua) minta celahan.
"Sebab itu saya ambil sikap yang sama ketika YB Gombak (Azmin Ali) berbahas tetapi tidak diberikan peluang," katanya kepada Astro AWANI.
Jelas Budiman, apa yang berlaku di Dewan Rakyat baru-baru ini tidaklah seteruk apa di Dewan Undangan Negeri Selangor yang mana hanya seorang pembahas mewakili setiap parti dibenarkan berhujah.
"Dalam konteks ini, UMNO dan Barisan Nasional cuma ada satu orang wakil manakala mereka (kerajaan Selangor) ada Pas, mereka ada DAP, mereka ada PKR.
"Ini menjadi empat lawan satu dan kalau saya melihat ini dari sudut demokratik boleh saya kata bahawa ini tidak demokratik," katanya lagi.
Pada Rabu, perbahasan RUU kajian semula persempadanan bahagian-bahagian pilihan raya persekutuan dan negeri-negeri Tanah Melayu menjadi kecoh apabila wakil rakyat pembangkang membantah keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat yang memberikan enam wakil dari kerajaan dan lima wakil pembangkang 10 minit setiap seorang untuk berbahas.
#Barisan Nasional #Budiman Mohd Zohdi #Dewan Negara #Dewan Rakyat #Dewan Undangan Negeri #Gagasan Sejahtera #Malaysia #Pakatan Harapan #PRU14
;