Benarkah Anwar 'melobi' Tengku Zafrul sebagai MB Selangor? - Jumiah Jonid
Hasimi Muhamad
Julai 6, 2023 23:09 MYT
Julai 6, 2023 23:09 MYT
KUALA LUMPUR: Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Selangor meluahkan rasa hairan selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim didakwa cuba melobi Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz sebagai Menteri Besar Selangor, jika Pakatan Harapan (PH) memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN), Ogos Depan.
Menurut Ketua Srikandi Bersatu Selangor, Jumiah Jonid, situasi itu disifatkan semakin keliru kerana Anwar merupakan Perdana Menteri daripada PKR, dan bukan daripada UMNO walaupun parti itu adalah komponen dalam Kerajaan Perpaduan.
"Ia juga menjadi tanda tanya kepada saya kerana apa (sebab) perlunya Anwar menamakan Tengku Zafrul sebagai bakal Menteri Besar Selangor.
"Saya sendiri tidak pasti berita ini benar atau hanya spekulasi semata-mata.
"Jika benar Tengku Zafrul adalah 'poster boy' Selangor, kemungkinan beliau adalah pemimpin yang mungkin dipercayai oleh Anwar yang boleh menarik undi daripada pelbagai kaum di Selangor," katanya ketika dihubungi pada Khamis.
Media sebelum ini melaporkan bekas Ahli Parlimen Rembau, Khairy Jamaluddin berpandangan Tengku Zafrul yang juga Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri wajar bertanding pada PRN Selangor dan dipilih menjadi Menteri Besar jika menang.
Bekas Ketua Pemuda UMNO itu berkata, Ahli Dewan Negara yang belum pernah memenangi mana-mana pilihan raya itu perlu bertanding dan menang bagi meneruskan perjalanan karier politiknya.
Selain itu, Khairy berkata Datuk Seri Amirudin Shari yang sudah melaksanakan tanggungjawab dengan baik sebagai Menteri Besar Selangor pula wajar menjadi salah seorang menteri di peringkat Persekutuan.
Sementara, Tengku Zafrul dipetik sebagai berkata, beliau bersedia menjadi Menteri Besar Selangor sekiranya pucuk pimpinan UMNO dan Barisan Nasional (BN) menginginkan beliau mengisi jawatan berkenaan.
Mengulas lanjut, Jumiah berkata Selangor memerlukan seorang Menteri Besar yang berasal dari negeri itu, dan sentiasa prihatin terhadap kesusahan serta kehendak rakyat.
"Seorang yang senang didekati seperti Menteri Besar Kelantan (Datuk Ahmad Yakob) dan seorang yang sabar seperti Menteri Besar Perlis (Mohd Shukri Ramli) serta seorang yang berjiwa besar seperti Menteri Besar Kedah (Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor)," tambahnya.
Ditanya adakah Perikatan Nasional (PN) sudah mempunyai calon Menteri Besar jika gabungan itu berjaya menawan Selangor, Jumiah berkata: "Jika kemenangan memihak kepada PN, keputusan siapa yang akan menjadi Menteri Besar Selangor biarlah diputuskan oleh kepimipinan tertinggi PN."
Pada Mei lalu, Amirudin berkata beliau menyerahkan kepada PKR sama ada kekal dengan jawatan Menteri Besar Selangor, sekiranya PH memenangi PRN.
Kata penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Tua itu lagi, sebagai ahli parti beliau akur dengan arahan dan keputusan diputuskan oleh PKR bagi menentukan calon Menteri Besar.
Amirudin mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Selangor di Istana Alam Shah, Klang pada 19 Jun 2018 selepas Datuk Seri Mohamed Azmin Ali melepaskan jawatan itu berikutan pelantikannya sebagai Menteri Hal Ehwal Ekonomi.