'Belum terbuka hati jumpa wakil pembangkang' - Ahmad Zahid
Sinar Harian
Julai 28, 2024 13:00 MYT
Julai 28, 2024 13:00 MYT
JOHOR BAHRU: Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mengakui terdapat wakil parti politik pembangkang yang mahu berjumpa beliau dan Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk berunding membentuk kerjasama dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.
Ahmad Zahid yang juga Pengerusi BN berkata, namun beliau ketika ini masih lagi belum terbuka hati untuk berjumpa dengan wakil-wakil daripada parti berkenaan.
“Ada delegasi yang datang mahu jumpa saya dan Anwar, saya tidak terbuka hati lagi jumpa mereka. Saya pesan jangan dipatuk ular yang sama untuk kali kedua di tempat yang sama,” katanya ketika berucap merasmikan Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Tebrau di Dewan Taman Adda Height di sini pada malam Jumaat.
Turut hadir Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Johor merangkap Ketua UMNO Bahagian Tebrau, Senator Datuk Abdul Halim Suleiman, Ketua UMNO Bahagian Pulai, Datuk Jazlan Datuk Nur Jazlan Mohamed dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tiram, Azizul Bachok.
Perkara itu ditimbulkan Ketua Penerangan Pas, Ahmad Fadhli Shaari pada 22 Julai lalu, yang antaranya mendakwa beberapa pertemuan tidak rasmi telah diadakan melibatkan pemimpin utama kedua-dua parti bagi ‘menyatukan kembali undi Melayu’.
Fadhli mendakwa, dalam satu pertemuan itu, seorang pemimpin utama UMNO meluahkan rasa serba salah bekerjasama dalam kerajaan yang didakwa merugikan dan mengharapkan UMNO dapat kembali bekerjasama dengan Pas.
Bagaimanapun Ahmad Zahid berkata, tiada perbincangan kerjasama antara UMNO dan Pas namun jika pun ada pertemuan, itu dibuat secara tidak rasmi.
Pada 8 Julai lalu, Ahmad Zahid juga menyatakan pendiriannya untuk tidak bekerjasama dengan Pas selagi Tan Sri Abdul Hadi Awang menjadi Presiden parti itu kerana mendakwa kerjasama mereka dalam Muafakat Nasional (MN) sebelum ini dikhianati Pas.
Mengulas lanjut, Ahmad Zahid berkata, sekiranya UMNO mahu membuat rundingan perlu dipastikan parti berkenaan berada dalam keadaan kuat terlebih dahulu.
“Kalau mahu berunding pastikan kita kuat terlebih dahulu, ini the art of negotiation, kalau kita lemah orang ajak berunding jangan pergi,” ujar beliau.
Dalam pada itu, beliau percaya Johor akan terus menjadi deposit tetap BN berbanding di negeri lain dan banyak tugas berat serta tanggungjawab perlu dilakukan dalam mengekalkan kedudukan berkenaan.
Timbalan Perdana Menteri itu juga yakin UMNO serta BN akan terus menjadi kerajaan di negeri ini selepas pilihan raya negeri (PRN) akan datang, namun dengan syarat semua pihak dalam parti tidak berpecah belah terutama di peringkat cawangan.
“Johor di bawah kepimpinan Menteri Besar, Datuk Onn (Hafiz Ghazi) kekal sebagai kubu dan simpanan tetap UMNO. Sebagai simpanan tetap banyak tugas berat yang perlu dilakukan. Dulu Sabah simpanan tetap BN tapi (sekarang) ke laut.
“Ada beberapa negeri lagi yang menjadi simpanan tetap sebelum ini tetapi sekarang semuanya sudah ‘cair’. Saya yakin jika soal penyatuan dalam kalangan kita dan soal mengembalikan semangat baharu dalam kalangan akar umbi, insya-ALLAH pada PRN akan datang Johor akan tetap bawah BN dan UMNO,” katanya.
Sementara itu, Halim berkata, UMNO Bahagian Tebrau berhasrat merampas semula kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Puteri Wangsa daripada Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) selain mengekalkan kerusi DUN Tiram pada PRN nanti. - Sinar Harian