Belum masanya Warisan lebar sayap ke Semenanjung - Penganalisis

Astro Awani
Julai 22, 2020 14:05 MYT
Parti Warisan perlu tumpukan perhatian di Sabah terlebih dahulu, menurut penganalisis politik Musli Oli. Gambar fail.
Buat masa ini, masih belum sesuai untuk Parti Warisan Sabah (Warisan) melebarkan sayap ke peringkat nasional kerana ia perlu menumpukan perhatian kepada Sabah terlebih dahulu.
Penganalisis politik Sabah, Musli Oli atau lebih dikenai sebagai Pak Mus berkata, ia satu agenda yang baik tetapi langkah itu belum sesuai untuk diambil ketika ini.
Katanya, ketika ini Sabah tidak mempunyai sebarang kemelut politik kerana ia hanya berlaku di peringkat persekutuan.
Justeru, pemimpin Sabah tidak seharusnya masuk ke dalam kemelut terbabit.
“Kemelut yang berlaku sekarang ini adalah antara kepimpinan di peringkat persekutuan, bukan membabitkan pemimpin peringkat negeri,” kata Pak Mus.
“Tetapi atas kepentingan tertentu, Tun Mahathir membawa pemimpin-pemimpin Sabah ke dalam kemelut itu dan kita pula macam seronok apabila kita dibawa dalam kemelut mereka.
“Saya rasa, walaupun ini sesuatu yang baik untuk sebuah parti seperti Warisan, tetapi untuk Warisan bersaing di peringkat nasional masih terlalu jauh.
"Kerana, Warisan sepatutnya fokus kepada negeri Sabah terlebih dahulu,” jelas beliau ketika ditemu bual Astro Awani menerusi Skype hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penganalisis politik Sabah, Saat Awang Damit berkata, langkah mengubah perlembagaan parti memerlukan mesyuarat agung dan mendapat undi sokongan dua pertiga ahli.
Jika itu berlaku, kemungkinan timbul isu rakyat Sabah menuduh mereka mungkir janji kerana semasa pilihan raya umum ke 14 warisan menggunakan slogan 'Sabah untuk Sabahan'.
“Jadi, ini satu tindakan yang tidak praktikal, seolah-olah untuk memberi laluan kepada orang-orang tertentu, sehingga perlembagaan sebagai panduan kepada parti itu diubah untuk Tun Mahathir bersama beberapa orang pemimpin,” kata Saat.
“Adakah kita terfikir atau Warisan juga terfikir, sanggupkah Tun Mahathir masuk dalam parti Warisan dengan menjadi ahli biasa sahaja?
“Saya fikir itu bukan satu matlamat dia. Saya lihat, sekiranya dia masuk Warisan, dia mesti ada kuasa dan jawatan yang dipegangnya.
“Pada masa yang sama, harus pemimpin dalam Warisan itu memberi laluan kepada dia untuk memegang jawatan-jawatan yang penting.
“Dalam konteks ini, adakah tidak bercanggah dengan dasar kempen mereka sebelum ini? Adakah dia tidak mengguris perasaan ahli-ahli Warisan?
“Dalam kajian kami sebelum ini, Tun Mahathir, ada yang tidak menggemari cara kepimpinan dia dalam konteks Sabah.
“Kalau ini betul-betul berlaku, ia boleh berlaku. Kalau ia betul-betul sudah berlaku, saya melihat ramai akan meninggalkan Warisan dan ada beberapa pemimpin juga akan meninggalkan Warisan.
“Dalam konteks ini, Warisan akan kehilangan ahli dan juga beberapa pemimpinnya," tambahnya.
Terdahulu, Astro Awani melaporkan Warisan Sabah sedia mempertimbangkan mengubah perlembagaan parti dan membuka keahlian kepada semua rakyat Malaysia jika Dr Mahathir berniat menyertai Warisan.
Bekas perdana menteri itu sebelum ini dilaporkan dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan mengisytiharkan dirinya sebahagian blok bebas dalam Parlimen.
Beliau turut memilih Presiden Warisan, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal sebagai calon Perdana Menteri ke-sembilan.
#Bersatu #Mahathir Mohamad #Musli Oli #Parti Warisan Sabah #Saat Awang Damit #Shafie Apdal #Warisan
;