Belum masanya UMNO namakan calon Perdana Menteri - Razali Ibrahim

Israr Khalid
Mac 31, 2021 09:11 MYT
Razali tidak menolak kemungkinan yang mana-mana pemimpin BN pun boleh dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka menang PRU 15 nanti, khususnya dari Sarawak. -Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Sekarang bukan masa yang sesuai untuk UMNO menamakan calon Perdana Menterinya, tegas Ahli Majlis Kerja Tertinggi parti itu, Datuk Seri Razali Ibrahim.
Ini kerana, katanya, tarikh Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 masih belum diketahui, malah UMNO juga belum menjalankan pemilihan parti yang bakal menyaksikan perubahan kepimpinannya.
“Selepas Perhimpunan Agung UMNO ini (PAU2020), akan ada satu lagi perhimpunan agung yang sepatutnya ada pemilihan (PAU2021).
“Kalau PRU 2023, maka akan ada Presiden (UMNO) baharu; Presiden baharu tak semestinya orang baharu, mungkin orang sama,” jelasnya.
Tambahnya, memandangkan daripada PAU 2020 tempoh hari UMNO telah memutuskan untuk bertanding bawah bendera Barisan Nasional (BN), maka mereka juga perlu mengambil kira pandangan parti komponen lain.
Untuk itu, beliau tidak menolak kemungkinan mana-mana pemimpin BN boleh dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya mereka menang PRU15 nanti, khususnya dari Sarawak.
Ini, menurutnya, berkemungkinan memandangkan Gabungan Parti Sarawak (GPS) terbukti berjaya mentadbir negeri tersebut, sekali gus memperlihatkan kestabilan kepimpinan.
“Tidak timbul dalam perhimpunan tempoh hari (PAU2020) tentang ini di mana bagi saya adalah rugi, mengapa tidak dibincang (tentang kerjasama dengan) kawan-kawan di Sarawak.
“Ini saya nak beritahu yang ia bukan benda mustahil. Kalau susah sangat, kalau dah tak ada orang sangat, beri sahajalah orang Sarawak jadi Perdana Menteri.
“Kita tak boleh pandang Sarawak sebagai ‘second-class’. Mereka dapat menjaga negeri mereka dengan baik dan stabil,” katanya.
Ujarnya lagi, kepimpinan adalah perkara pokok yang perlu difikirkan selain daripada tawaran baharu yang baik untuk rakyat untuk meraih semula keyakinan seterusnya membentuk kerajaan yang stabil.
Tonton temu bual penuh beliau bersama hos Nazri Kahar dalam Agenda AWANI, di sini:
Agenda AWANI: PRU15 | Siapa calon PM daripada UMNO?
#Agenda Awani #UMNO #Barisan Nasional #Razali Ibrahim #Perdana Menteri #pilihan raya umum #kerajaan #PAU2020
;