Belum ada keputusan dua jawatan tertinggi UMNO akan dipertanding - Ahmad Maslan

Astro Awani
Disember 26, 2022 14:19 MYT
Ahmad Maslan berkata, MKT masih belum membuat keputusan berhubung perkara berkenaan. - Gambar fail
PONTIAN: Keputusan mengenai sama ada jawatan Presiden dan Timbalan Presiden akan dipertanding atau pun tidak, hanya akan diputuskan ketika mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Khas pada 12 Januari 2023.
Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, MKT masih belum membuat keputusan berhubung perkara berkenaan.
Perkara itu hanya akan diputuskan pada Mesyuarat Khas MKT pada 12 Januari, iaitu mesyuarat yang kebiasannya diadakan sebelum Perhimpunan Agung UMNO.
"Setakat ini, tiada keputusan yang telah dibuat," katanya.
Menurutnya. dua fasal dalam UMNO bakal dipinda dalam Perhimpunan Agung Khas UMNO bermula 13 Januari depan.
Beliau berkata, cadangan pindaan tertumpu kepada pelantikan sebagai perwakilan mengikut Fasal 8.4.4 dan pengguguran keahlian berdasarkan Fasal 20.11.
Katanya, perhimpunan itu akan diadakan sejurus ucapan dasar Presiden di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia di ibu negara, pada 13 Januari 2023.
“Mesyuarat Agung luar biasa atau Perkhimpunan Khas dan perkara yang akan dipinda adalah Perlembagaan UMNO. Perlembagaan UMNO dicadang dipinda supaya meletakkan Ketua Penerangan sebagai mereka yang automatik menjadi perwakilan dalam Perhimpunan Agung UMNO setiap tahun,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan dengan masyarakat setempat di Taman Sri Api-Api, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, pindaan terhadap Fasal 8.4.4 merujuk kepada Ketua, Timbalan Ketua, Naib Ketua, Ketua Wanita, Ketua Pemuda, Ketua Pergerakan Puteri, Setiausaha dan Ketua Penerangan Bahagian yang telah mengadakan perwakilan bahagiannya akan menjadi perwakilan automatik dalam ketiga-tiga sayap UMNO.
Manakala bagi Fasal 20.11 pula, keahlian UMNO akan dipinda bagi membolehkan parti itu membuat penguguran automatik kepada ahli-ahli yang bertanding pada Pilihan Raya Umum (PRU) sebagai calon parti yang tidak dianggotai UMNO.
#Ahmad Maslan #Perhimpunan Agung Khas #Perhimpunan Agung UMNO #pengguguran keahlian
;