Belia India berhak dapat masa depan yang cerah - Vigneswaran

Bernama
September 18, 2022 23:25 MYT
Vigneswaran berkata hasrat dan usaha MIC adalah untuk membina sebuah masyarakat kaum India yang progresif serta bebas daripada gejala sosial. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Belia masyarakat India berhak menikmati masa depan yang lebih baik di negara ini, kata Presiden MIC, Tan Sri SA. Vigneswaran.
Justeru, Naib Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu, berkata hasrat dan usaha MIC adalah untuk membina sebuah masyarakat kaum India yang progresif serta bebas daripada gejala sosial.
"Generasi muda hari ini adalah satu-satu harapan kami untuk hari esok yang lebih baik. Generasi muda kita perlu dibimbing ke arah yang betul.
"Golongan anak muda ini perlu diberi pendidikan serta mendapat sokongan supaya mereka dapat membina masa depan yang lebih baik untuk negara," katanya ketika berucap pada majlis Pelancaran Briged MIC Kebangsaan dan Pameran Pencegahan Jenayah, di sini, hari ini.
Majlis tersebut dirasmikan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Hadir sama Pengerusi BN, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi,Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Mohamad Hasan dan Timbalan Presiden MIC, Datuk Seri M. Saravanan.
Sementara itu, Vigneswaran, berkata dalam usaha merancang dan menentukan hala tuju strategik pembangunan belia india, kerajaan serta pihak-pihak berkepentingan harus melabur lebih banyak dalam masa hadapan belia masyarakat India.
Sebagi permulaan, menurutnya, Pelan Tindakan Masyarakat India (MIB) kini berada dalam peringkat akhir pelaksanaan.
"Kita harus sedar, MIB ini merupakan salah satu kejayaan nyata dalam pembangunan dasar negara untuk masyarakat India," katanya.
-- BERNAMA
#MIC #SA Vigneswaran #belia India #masa depan
;