'Belanjawan Selangor 2017 hanya wayang kulit'
Nuradilla Noorazam
Oktober 31, 2016 22:45 MYT
Oktober 31, 2016 22:45 MYT
Barisan Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor menyifatkan Belanjawan 2017 negeri itu sebagai hanya 'wayang kulit'.
Penyelaras ADUN Barisan Nasional (BN) Selangor, Datuk Mat Nadzari Ahmad Dahlan berkata, banyak pembaharuan yang dibawa merupakan reaksi kepada Bajet 2017 yang dibentang Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak pada 21 Oktober lalu.
Jelasnya Belanjawan Negeri Selangor ternyata merupakan belanjawan saat akhir selain tiada penambahbaikan berbanding tahun lalu.
"Sebab itu saya katakan mereka ini tidak ada idea baru, tidak ada initiatif baru yang dibuat untuk faedah bagi meningkatkan dan merancakkan lagi sosioekonomi keseluruhan rakyat Selangor. Kita tengok skim perumahan, skim air dan macam-macam skim termasuk la pemberian elaun kepada bilal, imam, dan Jawatankuasa Kampung, semuanya dinaik setelah kerajaan pusat mengumumkan kenaikkan elaun-elaun ini untuk faedah rakyat.
"Saya nampak sangat ini adalah bajet 'reaksi' yang dibuat oleh kerajaan negeri Selangor, namun saya tidak menolak secara keseluruhan apa yang diumumkan.
"Saya akan kaitkan dalam perbahasan saya nanti supaya masyarakat tidak ketinggalan dan sebagai wakil rakyat saya mahu mengambil faedah dari perkara ini," katanya.
ADUN Semenyih, Datuk Johan Abdul Aziz pula berkata, belanjawan yang dibentang Menteri Besar, Datuk Seri Mohamad Azmin Ali itu hanya tampak cantik di atas kertas.
Namun, menurutnya, kerajaan negeri sentiasa gagal melaksanakan pelan belanjawannya secara efisyen dan mengikut garis masa yang ditetapkan.
Manakala Setiausaha Agung Pakatan Harapan, Datuk Saifuddin Abdullah menyifatkan Belanjawan Selangor bersifat holistik dengan memberikan fokus kepada golongan berpendapatan rendah.
"Dalam suasana rakyat berhadapan dengan kepayahan akibat ekonomi yang lembap dan bebanan seperti GST dan sebagainya, saya kira langkah negeri Selangor memperkenalkan skim perkhidmatan kesihatan untuk rakyat di bawah pendapatan RM3,000 adalah sepatutnya suatu tindakan yang boleh dipuji.
"Sebanyak RM125 juta telah diperuntukkan untuk Skim Peduli Rakyat dan lebih sejuta rakyat boleh mendapat kebaikan dari inisiatif ini. Selain itu pembiayaan dialisis dan mamogram percuma yang diteruskan adalah satu lagi bukti kerajaan mementingkan kesihatan dan hak rakyat negeri ini.
"Malah saya anggap pengumuman ini seperti 'Azmin care' yang setaraf dengan pelan Obama Care yang mahu diperkenalkan Presiden Amerika Syarikat Barack Obama," katanya.